Polis rekod keterangan juruterbang pesawat

Mohamad Fuzi (dua, kanan) ditemui di Masjid Salehin PULAPOL, Kuala Lumpur.
Mohamad Fuzi (dua, kanan) ditemui di Masjid Salehin PULAPOL, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah merakam keterangan juruterbang pesawat swasta yang merempuh kereta unit kejuruteraan Malaysia Airports Berhad (MAB) hingga menyebabkan kematian pemandunya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, terdapat beberapa laporan polis dibuat berhubung insiden tersebut termasuklah daripada pihak keluarga mangsa.

"Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

"Kita telah memanggil pemandu pesawat terbabit untuk proses merakam percakapan. Siasatan juga dibuat secara menyeluruh termasuk daripada syarikat terlibat untuk polis menyiapkan kertas siasatan secepat mungkin," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Latihan Polis Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 pagi, Isnin lalu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang, pesawat swasta terbabit dipercayai hilang kawalan ketika mahu mendarat lalu sebelum merempuh bahagian hadapan cermin dan bumbung kereta itu.

Penumpang dan anak kapal terbabit dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan, bagaimanapun mangsa, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, yang parah telah dikejarkan ke sebuah hospital swasta untuk rawatan. Mohd Ruzaimi bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 6.45 petang, keesokannya ketika menjalani rawatan.

MAHB memaklumkan pihaknya sudah menubuhkan pasukan penyiasatan dengan kerjasama Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi merungkai punca sebenar kejadian itu.

Terdahulu, warga PDRM menunaikan Solat Jumaat di Masjid Salehin PULAPOL dan turut dihadiri Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hamid Bador, pengarah jabatan serta pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel Berkaitan:

Sejurus selesai Solat Jumaat, warga PDRM turut mengadakan Solat Ghaib untuk mangsa kejadian serangan pengganas di Masjid Christchurch, New Zealand.

Dalam perkembangan lain, berhubung kes melibatkan aktivis politik, Jufazli Shi Ahmad yang 'menyerang' Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohamad Fuzi berkata, Jufazli dibebaskan dengan jaminan polis.

"Siasatan terus dijalankan. Kita masih tunggu beberapa laporan tertentu untuk disiapkan sebelum diserah kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya," katanya.