Sidang DUN: Kerajaan Pahang diminta serius selesaikan isu air

Young Syefura ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, pada Rabu.
Young Syefura ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang diminta serius menyelesaikan masalah bekalan air yang kerap berlaku di seluruh negeri tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman berkata, masalah air dihadapi rakyat dalam kawasan DUN di bawah seliaannya sehingga menyebabkan rungutan.

"Di Ketari, isu tekanan air rendah. Air keruh sering terjadi di Mempaga dan beberapa kawasan lain. Isu paip pecah pula berlaku di Kampung Perting serta Janda Baik," katanya ketika membahas usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, pada Rabu.

Sementara itu, Andansura Rabu (Pas-Beserah) ketika mencelah perbahasan Zakhwan Ahmad Badarddin (Pas-Tahan) mencadangkan supaya kerajaan Pahang menubuhkan satu pasukan khas bagi mencari penyelesaian secara tuntas untuk menyelesaikan isu air.

Katanya, semua wakil rakyat membawa isu sama dan masalah air perlu ditangani dengan melibatkan kepakaran teknikal serta ekonomi kerana penyelesaian itu melibatkan sumber pembiayaan.

Sebagai respon, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan, beliau akan memperincikan inisiatif dilaksanakan kerajaan Pahang bagi mengatasi masalah bekalan air dalam sesi penggulungan akan datang.

Persidangan bersambung Khamis.

Artikel Berkaitan: