Pelaksanaan gaji minimum usahawan mikro masih dalam perbincangan

Noh - Foto Bernama
Noh - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 dalam kalangan usahawan mikro masih di peringkat perbincangan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata, ia susulan rayuan yang diterima dalam kalangan usahawan agar pelaksanaannya dibincangkan semula.

"Perkara itu kita akan bincang dan kita tahu sektor banyak gulung tikar waktu pandemik adalah golongan mikro yang berniaga di gerai-gerai dan sebagainya.

"Jika pelaksanaan gaji minimum dijadikan sebagai peraturan, mereka bimbang sekiranya mereka tidak mampu untuk membayarnya, maka pekerja boleh melaporkan kepada Jabatan Buruh... Mereka minta gaji minimum kalau boleh jangan dikenakan pada mereka dahulu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Siri Emas Edisi Khas 100 Tahun Gerakan Koperasi di sini pada Rabu.

Noh berkata, sekiranya mana-mana usahawan mikro yang mampu melaksanakan gaji minimum RM1,500, adalah digalakkan.

Pada 19 Mac lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelulusan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara mulai 1 Mei ini.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata, dalam usaha memperkasa gerakan koperasi, sebuah universiti iaitu Universiti Keusahawanan dan Koperasi di bawah Institut Koperasi Malaysia akan ditubuhkan di Cyberjaya.

"Selain itu, kita juga sedang menggerakkan usaha untuk mengasingkan urusan Bank Rakyat dengan aktivitinya yang lain seperti pelancongan, hartanah, pembangunan dan sebagainya memandangkan Bank Negara Malaysia tidak lagi membenarkan Bank Rakyat terlibat dengan aktiviti lain selain perbankan.

"Dalam perkara ini, kita akan wujudkan BR 2... bagaimanapun butiran lanjut berkaitan BR 2 dan penubuhan universiti akan diumumkan Perdana Menteri sempena pelancaran sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi pada Julai depan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Noh sebelum itu dalam ucapannya berkata, berdasarkan Laporan Ekonomi Sektor Koperasi 2020 yang diterbitkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehingga 31 Disember 2020, pencapaian perolehan sektor koperasi adalah sebanyak RM41.5 bilion.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan kewangan adalah penyumbang terbesar kepada perolehan keseluruhan gerakan koperasi iaitu sebanyak 83.2 peratus diikuti sektor pembangunan hartanah dan industri pembinaan (10.8 peratus) dan sektor pemborongan dan peruncitan (empat peratus).

"Bank Rakyat dan Co-opbank Pertama adalah penyumbang terbesar kepada sektor perkhidmatan kewangan iaitu sebanyak 70.7 peratus, diikuti aktiviti pembiayaan kredit (15.8 peratus) dan Ar-Rahnu (13 peratus),” katanya.

Mengenai Siri Emas Edisi Khas sempena 100 tahun gerakan koperasi dikeluarkan RMS Gold anak syarikat Bank Rakyat itu adalah sebagai tanda sokongan kepada koperasi negara serta pelanggan yang sentiasa menyokong sektor dalam meningkatkan aktiviti keusahawanan.

Sebanyak 2,000 unit Siri Emas Edisi Khas ini dan didatangkan dalam bentuk wafer seberat satu dan lima gram boleh didapati pada harga RM340 bagi wafer emas satu gram dan RM1,600 bagi wafer emas lima gram manakala RM1,300 bagi dinar emas seberat 4.25 gram. - Bernama