15 premis judi dalam talian dikenakan tindakan potong bekalan elektrik

Sebuah premis judi dalam talian di Taman Kajang Prima di sini pada Rabu.
Sebuah premis judi dalam talian di Taman Kajang Prima di sini pada Rabu.
A
A
A

KAJANG - Sebanyak 15 premis yang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian di daerah ini dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh pihak polis serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Selasa dan Rabu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pemotongan bekalan elektrik itu dibuat di Taman Kajang Prima, Taman Kajang Utama, Semenyih dan Bandar Baru Bangi.

"Sebanyak 150 serbuan berjaya dijalankan dan 141 kes telah didakwa di mahkamah manakala pihak TNB telah melakukan 11 tindakan pemotongan ke atas premis yang terbabit pada tahun lalu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Zaid berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Mac lalu, sebanyak 26 serbuan ke atas premis perjudian dalam talian telah dilakukan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 23 kes telah didakwa di mahkamah manakala 15 premis telah diambil tindakan pemotongan.

"Seramai 146 individu ditangkap dalam serbuan Op Dadu sejak tahun lalu hingga Mac lalu manakala 287 mesin judi antaranya komputer, komputer riba, tablet dan telefon bimbit serta wang tunai bernilai RM9,745 telah dirampas," katanya.

Artikel Berkaitan: