MAIWP sasar satu murid satu al-Quran di rumah

Ridzwan (empat dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil lima sekolah rintis yang terlibat projek khas Wakaf al-Quran Pendidikan pada Selasa.
Ridzwan (empat dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil lima sekolah rintis yang terlibat projek khas Wakaf al-Quran Pendidikan pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Wakaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan setiap murid mempunyai sekurang-kurangnya satu al-Quran di rumah.

Ahli Lembaga Pengarah Pusat Wakaf MAIWP, Dr Ridzwan Bakar berkata, atas kesedaran tersebut pihaknya telah menjalinkan kerjasama bersama Pertubuhan Ikatan Kasih Ummah (PIKU) memilih lima sekolah rintis bagi Program Wakaf Al-Quran Pendidikan.

Menurutnya, sebagai permulaan sebanyak 5,000 naskah al-Quran akan diagihkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kuantan 2, SK Seri Bonus, SK Setapak, SK Padang Tembak 2 dan SK Jalan Air Panas.

"Inisiatif ini bagi memberikan pendidikan awal membaca al-Quran sejak kecil dan menyasarkan murid yang tamat Tahun Enam telah khatam al-Quran sebelum masuk ke Tingkatan Satu.

"Hasrat kami mahu memastikan anak-anak kita bukan hanya tahu membaca al-Quran tetapi menghayati dan melaksanakan sesuatu berpandukan al-Quran," katanya pada Majlis Pelancaran Wakaf al-Quran Pendidikan di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam JPWPKL, Mohamed Nor Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Wakaf MAIWP, Zainuddin Mohd Salleh.

Beliau berkata, program sama akan dikembangkan ke sekolah rendah dan menengah di seluruh Wilayah Persekutuan pada masa hadapan.

"PIKU dengan sokongan Pusat Wakaf MAIWP akan menggunakan kaedah wakaf musytarak (wakaf bercampur antara wakaf am dan khas) dalam usaha menjayakan projek tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Dana yang dikumpul akan digunakan untuk pencetakan al-Quran sebelum diedar ke sekolah terlibat. Biro Sahabat Wakaf akan menguruskan al-Quran yang diwakaf mengikut keperluan sekolah masing-masing," katanya.

Jelasnya, Pusat Wakaf MAIWP telah menyediakan pelbagai saluran bagi memudahkan orang ramai berwakaf tunai antaranya melalui laman sesawang www.wakafwilayah.org atau Toyidpay dan redi2infak.

Tambahnya, sebanyak RM1.4 juta kutipan disasarkan bagi penyediaan lebih 18,000 naskhah al-Quran di bawah projek khas Wakaf al-Quran Pendidikan di Wilayah Persekutuan.

"Saya seru badan korporat untuk turut serta dalam program ini. Diharapkan program ini dapat memberikan impak positif dalam pembangunan wakaf dan pendidikan sekolah," katanya.