Lewandowski pacu Poland ke Piala Dunia

Lewandowski meraikan jaringannya ketika membantu Poland menewaskan Sweden 2-0 di Stadium Silesian, Chorzow, Poland. - Foto Reuters
Lewandowski meraikan jaringannya ketika membantu Poland menewaskan Sweden 2-0 di Stadium Silesian, Chorzow, Poland. - Foto Reuters
A
A
A

TONGGAK serangan Poland, Robert Lewandowski menyifatkan kejayaannya menyempurnakan penalti ketika membantu Poland menempah tempat ke pusingan akhir Piala Dunia merupakan salah satu tugasan paling berat dalam kariernya.

Kapten Poland itu mengakui sangat gementar ketika mengambil sepakan tersebut namun lega selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan oleh pengadil pada separuh masa kedua selepas pemain Sweden, Jesper Karlstrom mengasari Grzegorz Krychowiak di dalam kotak penalti.

"Ia merupakan sepakan penalti yang paling sukar untuk disempurnakan sepanjang karier saya sebagai seorang pemain.

"Saya tahu tekanan ketika mengambil sepakan penalti itu sangat tinggi kerana ia bakal menentukan masa depan kami.

"Bagaimanapun, saya berasa sangat lega selepas menyempurnakan sepakan tersebut yang bagi saya menyumbang kepada kejayaan kami layak ke Piala Dunia Qatar," katanya.

Pada perlawanan tersebut, Lewandowski meletakkan Poland di hadapan selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-49 sebelum Zielinska menggandakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-72.

Dalam pada itu, penyerang memuji semangat juang yang ditunjukkan pasukannya meskipun turun tanpa kehadiran kehadiran beberapa tonggak utama akibat kecederaan.

“Kami berdepan banyak masalah sebelum perlawanan ini. Ramai pemain cedera, termasuk saya yang mempunyai masalah di bahagian lutut.

Artikel Berkaitan:

"Kami menderita tetapi kini kami boleh meraikannya. Saya bangga dan gembira pasukan berjaya layak ke Piala Dunia” ujar Lewandowski.

Sementara itu, penyerang veteran Sweden, Zlatan Ibrahimovic yang dimasukkan pada 10 minit terakhir nyata kecewa kerana gagal membantu Sweden untuk layak ke Piala Dunia.

"Semua orang kecewa, itu perkara biasa apabila kalah. Kami semua mahu beraksi dalam Piala Dunia tetapi malangnya ia tidak akan berlaku,” jelas Ibrahimovic.