'Saya berenang dengan jiwa'

Muhammad Zhariff (tengah) selepas menamatkan acara acara renang laut terbuka Kapas - Marang Swimathon 2022 pada Sabtu lalu. FOTO: Facebook Zhariff Afandi
Muhammad Zhariff (tengah) selepas menamatkan acara acara renang laut terbuka Kapas - Marang Swimathon 2022 pada Sabtu lalu. FOTO: Facebook Zhariff Afandi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) membuktikan ketidakupayaan diri bukan penghalang untuk menamatkan cabaran berenang sejauh 6.5 kilometer (km) dari Pulau Kapas ke Pantai Kelulut, Marang.

Muhammad Zhariff Afandi, 40, berkata, pencapaian yang dibuktikan dalam acara renang laut terbuka, Kapas - Marang Swimathon 2022 pada Sabtu lalu didorong oleh semangat.

"Saya berenang dengan jiwa. Memang susah tapi perlu ada semangat yang kuat. Bukan hanya dalam renang tetapi setiap pekerjaan yang dilakukan perlu ada semangat.

Muhammad Zhariff yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor turut mengakui kesukaran menamatkan cabaran sejauh 6.5 kilometer.

"Saya rasa sangat sukar untuk meneruskan renang tetapi nekad mencuba yang terbaik.

"Tiada apa yang saya fikirkan ketika berenang dan hanya bergerak ke depan. Saya mula bertenang apabila penat dan mengingat kembali niat meneruskan cabaran ini. Alhamdulillah saya berjaya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Rabu.

Walaupun tempoh masa 4 jam 20 minit yang diambil untuk menamatkan perlawanan disifatkan

Muhammad Zhariff sebagai terlalu lama berbanding rekod 2 jam 57 minit dalam acara sama pada 2012, ia merupakan satu kejayaan besar yang boleh dibanggakan pada usia 40 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin sebab faktor usia dan persediaan mempengaruhi pencapaian saya kali ini. Apabila sudah menjangkau usia 40 tahun, saya sudah tidak selaju dulu. Kekuatan otot juga mungkin sudah berkurangan.

"Tambahan pula, saya mengambil keputusan menyertai cabaran ini pada saat akhir iaitu tiga hari sebelum pertandingan. Pada 2012 saya ambil masa sebulan untuk berlatih dan waktu itu saya berjaya mendapat tempat ke 56," katanya.

Muhammad Zhariff yang dilahirkan tanpa kedua belah tangan juga memberitahu, acara renang laut terbuka Kapas - Marang Swimathon 2022 merupakan acara renang paling jauh yang pernah disertai.

Zhariff (kanan) memulakan acara renang sejauh 6.5 km dari Pulau Kapas ke Pantai Kelulut, Marang.
FOTO: Facebook Zhariff Afandi.
Zhariff (kanan) memulakan acara renang sejauh 6.5 km dari Pulau Kapas ke Pantai Kelulut, Marang. FOTO: Facebook Zhariff Afandi.

"Saya biasa berenang dan sertai aktiviti-aktiviti mencabar yang mendekatkan diri dengan alam semulajadi. Aktiviti seperti berlari dan joging juga menjadi rutin saya.

"Bagaimanapun, prosedur keselamatan yang disediakan penganjur sepanjang laluan turut meyakinkan saya untuk menyertai cabaran ini.

"Mereka juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap peserta bagi mengelak penularan Covid-19," katanya yang kini sedang menyiapkan sebuah lokasi tapak perkhemahan Mimpi Marang Eco Village di Pantai Seberang Marang.

Kapas-Marang Swimathon 2022 merupakan sukan renang anjuran Kelab Renang AMMJB Elite Swimmer yang diadakan pada jarak 6.5 km bermula dari Pulau Kapas merentasi ke Pantai Kelulut, Marang.

Sukan renang lasak bertaraf antarabangsa itu diadakan di Pulau kapas bermula tahun 2005 dan semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia sejak 2014.

Acara tahun ini disertai kira-kira 200 peserta termasuk perenang tempatan dan luar negara seperti Austria, Jerman, Poland, Indonesia, Singapura, Scotland, Amerika Syarikat dan Kanada.