Covid-19: 64 kes kematian baharu, 14 BID

Sebanyak 64 kematian baharu Covid-19 termasuk 14 kes kematian di luar hospital atau 'brought-in-dead' (BID) dilaporkan pada Selasa. Foto hiasan
Sebanyak 64 kematian baharu Covid-19 termasuk 14 kes kematian di luar hospital atau 'brought-in-dead' (BID) dilaporkan pada Selasa. Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 64 kematian baharu Covid-19 termasuk 14 kes kematian di luar hospital atau 'brought-in-dead' (BID) dilaporkan pada Selasa.

Menerusi data yang diperoleh daripada GitHub Kementerian Kesihatan Malaysia, Perak melaporkan angka kematian tertinggi dengan 20 kes.

Ia disusuli dengan lapan kes di Kedah, Selangor (tujuh), Pulau Pinang (enam), Johor (lima), Negeri Sembilan dan Sarawak (empat) serta Kelantan (tiga).

Melaka, Pahang dan Sabah masing-masing dua kes kematian manakala satu kes direkodkan di Terengganu.

Sementara itu, bagi 14 kematian di luar fasiliti (BID), Kelantan merekodkan tiga kes dan dua di Perak, Kedah, Johor dan Sarawak.

Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sabah pula mencatatkan satu kes BID.

Sejak wabak itu melanda Malaysia pada 24 Januari 2020, Covid-19 telah meragut 34,906 nyawa di negara ini.

Sementara itu, KKM turut melaporkan 15,215 kes positif baharu Covid-19 bagi hari yang sama.

Artikel Berkaitan:

Ia merangkumi 14,965 kes penularan tempatan dan 250 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 50.18 peratus (7,635 kes) merupakan kes kategori dua manakala 48.94 peratus (7,446) kategori satu.

"Bagi kategori tiga, terdapat 60 kes atau (0.39 peratus), 26 kes kategori empat (0.17 peratus) dan 48 kes kategori lima (0.32 peratus) turut direkodkan," katanya.

Menurutnya, sebanyak 282 kes yang dirawat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 176 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

"Seramai 24,154 individu disahkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhannya, 3,920,643 kes," katanya.

Setakat jam 12 tengah malam Selasa, sebanyak 236,023 kes positif aktif dilaporkan dengan 230,081 individu menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 4,843 pesakit dirawat di hospital, manakala 817 pesakit lagi menjalani rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Jumlah keseluruhan bagi kes positif Covid-19 adalah 4,167,418.