Rumah rosak, kereta dihempap pokok

Azul Hanafi melihat keadaan bumbung rumahnya yang diterbangkan angin di Taman Desa Pengkalan Lahat.
Azul Hanafi melihat keadaan bumbung rumahnya yang diterbangkan angin di Taman Desa Pengkalan Lahat.
A
A
A

IPOH - Seorang bapa hanya mampu memeluk erat bayinya yang berusia lapan bulan selepas bumbung rumahnya melayang dalam kejadian ribut di Lahat di sini pada Isnin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika Azul Hanafi Zainal Abidin, 30, bersama isteri, Nur Isna Farhana Abdullah, 28, dan dua anak mereka berusia empat tahun dan lapan bulan sedang berehat di rumah di Taman Desa Pengkalan Lahat.

Azul Hanafi berkata, tiba-tiba angin kuat mengakibatkan rumahnya bergegar dan dia terus memeluk erat bayinya sebelum memanggil isteri dan seorang lagi anak mereka berlindung di sebalik dinding rumah itu.

"Kami tidak sempat lari dan pada masa sama berusaha menahan dinding kerana bimbang akan roboh. Ketika itu kami hnaya mampu mengucap dua kalimah syahadah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Selasa.

Bagaimanapun katanya, apabila keadaan reda mereka terus keluar dari rumah dan berlindung dalam kereta Perodua Kancil tetapi malangnya kenderaan itu dihempap dahan pokok.

Azul Hanafi yang bekerja sebagai nelayan darat terpaksa membawa keluarganya menginap di sebuah hotel berhampiran yang dibiayai oleh individu lain selepas rumahnya tidak boleh diduduki lagi.

"Banyak yang perlu dibaiki terutama bahagian bumbung. Semua pakaian kami diterbangkan angin dan berterabur di tengah jalan. Bayi saya kini demam apabila kami semua lencun dalam kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Abdullahshah membina khemah selepas bumbung rumah diterbangkan angin pada Isnin.
Mohd Abdullahshah membina khemah selepas bumbung rumah diterbangkan angin pada Isnin.

Lebih menyedihkan, pendapatan harian Azul Hanafi terjejas selain susu bayinya hampir habis

Seorang lagi mangsa, Mohd Abdullahshah Norkamaran, 40, memberitahu, terus bergegas pulang dari Kuala Lumpur selepas dimaklumkan bapa yang rumahnya terjejas dalam kejadian itu.

"Memang terkejut apabila sebahagian bumbung diterbangkan angin dan peralatan rumah termasuk barangan elektrik banyak yang rosak terkena hujan.

"Kami tinggal di dalam khemah sementara bumbung rumah dibaiki semula. Banyak peralatan yang perlu dibaiki sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur kerana berniaga nasi lemak," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Daerah Perikanan Kinta dan Kampar, Mohd Ridzuan Ahmad berkata, dua keluarga terlibat merupakan penerima elaun sara diri nelayan yang berdaftar di bawah jabatan itu.

"Kami menyediakan laporan bertulis kepada Pejabat Penghulu untuk bantuan di bawah pembangunan luar bandar serta Baitulmal selain membawa isu ini di peringkat daerah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.