ADUN Perak tegur agensi kerajaan lewat laksanakan projek rakyat

Zambry ketika membahaskan Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah Diraja Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan di Dewan Negeri pada Selasa.
Zambry ketika membahaskan Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah Diraja Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan di Dewan Negeri pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kelewatan agensi kerajaan di Perak melaksanakan projek-projek rakyat yang telah diluluskan di negeri ini mendapat teguran daripada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Selasa.

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (BN-Pangkor) berkata, mengambil contoh dialami sendiri melibatkan permohonan membina rumah sebuah penduduk yang hampir runtuh pada 19 Mac 2021 masih tidak dilaksanakan walaupun telah diluluskan.

Menurutnya, sebarang permohonan yang diluluskan tidak sepatutnya diproses begitu lama untuk dilaksanakan kerana ia memberi kesan kepada usaha kerajaan melaksanakan dasar terutama dalam pembasmian kemiskinan.

"Saya menyanjung tinggi dasar yang dilaksanakan boleh kerajaan negeri selama ini dan kita telah buktikan bagaimana dasar-dasar untuk pembasmian kemiskinan tegar itu begitu efektif sekali tetapi malang kalau sekiranya segala dasar-dasar yang baik itu tidak dapat dilaksanakan.

"Di peringkat bawah rakyat datang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), rakyat datang kepada kita mengadu hal tentang keadaan permohonan mereka yang mengambil masa yang begitu lama," katanya ketika membahaskan Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah Diraja Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan di Dewan Negeri pada Selasa.

Perkara yang dibangkitkan itu turut mendapat perhatian dan sokongan anggota Dewan mencelah ketika perbahasan itu melibatkan A Sivanesa (DAP-Sungkai), Nga Kor Ming (DAP-Aulong), Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai), Teoh Yee Chern (DAP-Astaka), Mohd Zaidi Aziz (BN-Slim), Datuk Aznel Ibrahim (BN-Pengkalan Hulu) dan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (Bebas-Titi Serong).

Menurut Zambry, kerajaan negeri dan kakitangan awam perlu bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan dasar-dasar diumumkan dapat dilaksanakan di peringkat bawah.

Katanya, dasar-dasar yang baik tidak harus diambil mudah atau tidak dipedulikan dari segi pelaksanaannya kerana ia memberi kesan besar kepada pentadbiran kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Tujuan kita (menegur) adalah untuk memperbetulkan supaya kelemahan-kelemahan yang ada dapat kita perbaiki supaya Perak dapat maju ke hadapan.

"Jangan kita anggap bahawa ini merupakan satu kritikan yang melemahkan semangat ambillah pandangan-pandangan ini, di peringkat ketua-ketua jabatan mungkin tak tahu apa yang berlaku di bawah. Kita hanya dapat tahu apabila adanya respon sebegini daripada ahli-ahli Dewan sekalian," katanya.