Lawatan Ismail Sabri ke UAE beri jenama baik buat Malaysia

Ismail Sabri menghadiri majlis perjumpaan #KeluargaMalaysia bersama rakyat Malaysia Sempena Lawatan Rasmi Perdana Menteri ke Doha, Qatar malam Isnin. - Foto Bernama
Ismail Sabri menghadiri majlis perjumpaan #KeluargaMalaysia bersama rakyat Malaysia Sempena Lawatan Rasmi Perdana Menteri ke Doha, Qatar malam Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

DUBAI - Memberikan jenama yang lebih baik kepada Malaysia merupakan antara perancangan sempena lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula Selasa hingga 31 Mac.

Lawatan rasmi pertama Ismail Sabri ke UAE itu selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan Malaysia pada 21 Ogos tahun lepas, juga diharapkan dapat mempertingkatkan dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dengan UAE termasuk menangani pandemik Covid-19 dan usaha pemulihan pasca pandemik.

Duta Besar Malaysia ke UAE, Datuk Mohd Tarid Sufian berkata, ia akan membuka ruang dan peluang meningkatkan jalinan hubungan erat antara kedua-dua negara terutama di peringkat pemimpin tertinggi.

Katanya, selain mengadakan pertemuan dengan pemimpin utama di UAE, Ismail Sabri juga akan menyertai Ekspo Dubai 2020 yang berlangsung selama enam bulan sejak Oktober tahun lepas hingga 31 Mac ini.

"Beliau menyertai hari-hari terakhir ekspo ini. Ini landasan untuk memberi jenama yang baik kepada negara kerana ekspo disertai 192 negara dan juga organisasi antarabangsa.

"Kita dapat mengetengahkan teknologi dan idea baharu serta inovasi yang bukan sahaja digunakan oleh Malaysia tetapi juga potensi untuk rakan dagangan Malaysia dan negara yang boleh melihat kelebihan Malaysia untuk dimanfaatkan dunia dalam menangani cabaran masa kini,” katanya ketika sidang akhbar sempena lawatan Perdana Menteri di sini.

Pada hari kedua lawatan ke UAE, Ismail Sabri akan melawat Pavilion Malaysia di Ekspo Dubai 2020 dan dijangka turut menyaksikan majlis menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dengan syarikat asing.

Dengan tumpuan Pavilion Malaysia adalah bagi mencapai karbon bersih sifar sebagai sebahagian daripada Matlamat Pembangunan Mampan termasuk kemampanan dan tenaga pembaharuan, ia juga memberikan Malaysia platform terbaik dalam mempamerkan teknologi inovatif dan penyelesaian holistik Malaysia kepada dunia.

Mohd Tarid berkata, Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan Keluarga Malaysia yang besar di UAE, kerana terdapat kira-kira 6,000 rakyat Malaysia yang bekerja sebagai profesional terutama dalam bidang penerbangan serta minyak dan gas.

Artikel Berkaitan:

"Ini peluang baik untuk Perdana Menteri berkongsi idea, pengalaman dan aspirasi negara kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia dan UAE juga boleh bekerjasama dalam bidang pendidikan dan pengajian tinggi kerana kedua-dua negara mempunyai hasrat yang sama untuk menjadi hab pendidikan.

"Kita nak jadikan Malaysia hab pendidikan...kita boleh buat kolaborasi secara strategik dengan UAE, kerana UAE ada inspirasi yang sama. Institusi pengajian Malaysia boleh jadikan bandar-bandar besar UAE untuk bersama-sama memajukan institusi pendidikan,” katanya.

Mohd Tarid berkata, Malaysia boleh menyasarkan bukan hanya menarik pelajar UAE untuk ke Malaysia tetapi juga warganegara lain di UAE kerana terdapat lebih 200 warganegara di negara itu.

"Bukan fokus hanya rakyat UAE tetapi keluarga mereka yang bekerja. Di sini (UAE) ada lapan juta warga asing. UAE adalah kosmopolitan bagi dunia, boleh jumpa pelbagai latar belakang dari pelbagai negara,” katanya. - Bernama