Tiga sekawan dipenjara dua tahun lima bulan

Tertuduh yang terdiri daripada tiga lelaki tiba di perkarangan Mahkamah Kuala Pilah pada Isnin.
Tertuduh yang terdiri daripada tiga lelaki tiba di perkarangan Mahkamah Kuala Pilah pada Isnin.
A
A
A

KUALA PILAH - Tiga sekawan dihukum penjara dua tahun lima bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah pada Isnin atas pertuduhan melakukan khianat dan cubaan mencuri sebuah mesin pengeluaran automatik (ATM) di Pekan Johol tahun lalu.

Majistret Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Mohamad Faris Zaki, 29, Mohd Najib Husain, 26, dan Mohd Ridzuwan Md Daud, 36, yang mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama dengan yang masih bebas telah melakukan khianat dengan memecahkan cermin pondok mesin ATM yang menyebabkan kerugian RM1,500.

Berikutan itu kesemua mereka didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan kedua pula mereka juga secara bersama-sama dengan yang masih bebas telah cuba mencuri mesin ATM yang merupakan aset Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol.

Pertuduhan kes itu dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di pondok mesin ATM Pekan Johol pada 13 Disember 2021 lebih kurang jam 4 pagi.

Sementara itu, Mohd Ridzuwan turut dituduh mencuri sebuah kereta Proton Iswara milik Pang Hee Siang, 50, pada 16 November 2021, jam 3 pagi di Pekan Dangi di sini.

Artikel Berkaitan:

Mohd Najib pula dituduh sengaja menyembunyikan kereta Proton Iswara terbabit di Kampung Ulu Kepis, Temeris pada 17 November 2021 lebih kurang jam 4 pagi.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara tiga tahun selepas Mohd Ridzuwan dan Mohd Najib mengaku bersalah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur'Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.