Rindu iftar ala Madinah, Ramadan kali ini kasi meriah

Orang ramai tidak melepaskan peluang memeriahkan Iftar ala Madinah yang pernah diadakan di Dataran Karangkraf, Shah Alam sebelum ini. - Foto fail Sinar Harian.
Orang ramai tidak melepaskan peluang memeriahkan Iftar ala Madinah yang pernah diadakan di Dataran Karangkraf, Shah Alam sebelum ini. - Foto fail Sinar Harian.
A
A
A

DIAM tak diam, sudah dua tahun kita tidak dapat menyambut kemeriahan bulan Ramadan angkara Covid-19. Nak berbuka puasa ramai-ramai tak boleh, nak ke bazar Ramadan takut-takut, nak bertarawih pun terhad dan segala-galanya ibarat terhenti seketika.

Justeru, apabila kerajaan telah mengumumkan 1 April depan, negara akan melangkah ke fasa endemik yang bermakna banyak kelonggaran telah diberikan, sama-samalah kita memanjatkan doa agar kehidupan kita kembali normal dan baik-baik sahaja. Apa yang penting adalah menjaga SOP.

Merak Jalanan tertarik dengan iftar ala Madinah yang akan diadakan di Dataran Karangkraf, Shah Alam pada 4 hingga 2 Mei ini. Bagi yang pernah merasai pengalaman berbuka puasa di Madinah dan Makkah tentunya merindui suasana seperti ini.

Jadi, jika anda juga rindu, jemputlah datang untuk sama-sama kita mengembalikan semangat bulan Ramadan. Kita berbuka puasa beramai-ramai ibarat satu keluarga besar. Bawa makanan dari rumah dan kongsi dengan orang lain pun boleh, malah sangat dialu-alukan. Jika tak bawa makanan pun tak mengapa kerana juadah akan disediakan secara percuma.

Program ini juga selaras dengan objektifnya iaitu untuk memberi peluang kepada golongan terjejas atau kurang kemampuan datang berbuka puasa secara percuma selama 29 hari.

“Ramai pihak yang terjejas terutama dari segi pendapatan, ada yang dibuang kerja, kos sara hidup dan harga makanan semakin meningkat. Jadi dengan cara ini kita dapat membantu mereka yang terbeban,” kata Ketua Projek, Firdaus Hussamuddin yang juga Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf.

Sebelum berbuka ada tazkirah dan selepas itu, boleh solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah.

Merak Jalanan tabik hormat dengan usaha murni ini apatah lagi ia turut melibatkan semua pihak.

Artikel Berkaitan:

Ramadan kali ini, kita kasi meriah.