Iftar ala Madinah peluang KDEBWM buat kebajikan

Ramli (kanan) dan Pengarah Eksekutif Grup Media Karangkraf, Farah Hussamuddin ketika gimik penyerahan tong sampah di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Selasa.
Ramli (kanan) dan Pengarah Eksekutif Grup Media Karangkraf, Farah Hussamuddin ketika gimik penyerahan tong sampah di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) menyumbang sebanyak 500 pek juadah bagi meraikan orang ramai yang berbuka puasa semasa program Iftar Ala Madinah@Karangkraf pada Selasa.

Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, sumbangan tersebut merupakan inisiatif kebajikan syarikat berkenaan bersempena mengambil keberkatan bulan Ramadan.

Ujar beliau, pada kesempatan majlis itu, pihaknya turut mengambil peluang menyampaikan sumbangan duit raya kepada 30 orang anak yatim daripada Pertubuhan Rahoma Darul Fakir.

“Program yang dijalankan ini menjadi satu bentuk kesedaran bagi mana-mana perusahaan untuk menjadikan bulan Ramadan sebagai satu pemangkin kepada aktiviti kebajikan.

“Majlis turut menjadi satu peluang kepada kami bagi menerapkan kempen pengurusan sistem pembuangan sisa pepejal dalam masyarakat khususnya di Selangor,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ramli menambah, pek makanan yang diagihkan kepada peserta Iftar ala Madinah berkonsepkan kesederhanaan dalam kuantiti hidangan.

Jelas beliau, ia juga secara tidak langsung dapat memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak membazir dalam menikmati setiap juadah.

“Macam yang kita lihat pembaziran sangat senang terjadi terutama pada bulan yang mulia ini. Buktinya kita dapat lihat dalam sesebuah medan bazar, terdapat sekitar 70 tan bahan buangan dihasilkan pada satu hari.

“Di Selangor, purata medan bazar adalah sebanyak 10,000, jadi bayangkan berapa banyak pembuangan telah dihasilkan.

“Justeru, pek makanan yang kita agihkan ini berkonsepkan kesederhanaan sesuai dengan visi bulan Ramadan ini. Kita makan dengan kuantiti yang sekadarnya bagi mengisi perut dan menjalani ibadah. Jadi, tiada pembaziran di sana,” katanya.

Pada majlis berkenaan, KDEBWM turut menyumbang enam tong sampah kepada Kumpulan Karangkraf sebagai langkah membantu pengurusan sistem pembuangan pepejal di sekitar kompleks syarikat itu.