Jangan berlengah dapatkan dos penggalak

Warga emas dan golongan komorbiditi digesa tidak berlengah bagi mendapatkan suntikan dos penggalak. - Gambar hiasan
Warga emas dan golongan komorbiditi digesa tidak berlengah bagi mendapatkan suntikan dos penggalak. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Warga emas dan golongan komorbiditi digesa tidak berlengah bagi mendapatkan suntikan dos penggalak.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kar Chai berkata, ini kerana varian Omicron sangat mudah dijangkiti.

“Ini menjadikan kemungkinan untuk semua orang dijangkiti pada suatu ketika adalah tinggi.

“Jadi, yang terbaik adalah mendapatkan perlindungan tambahan dengan menerima suntikan dos penggalak. Jika anda masih tidak pasti, rujuk dengan doktor keluarga anda,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan penerima vaksin Sinovac dan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang menerima semua jenis vaksin diberikan tempoh sehingga 31 Mac ini untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.

Katanya, jika gagal berbuat demikian, status vaksinasi mereka akan bertukar kepada tidak lengkap.

Mengulas lanjut, Kar Chai turut mengalu-alukan langkah ProtectHealth yang menyediakan perkhidmatan vaksin ke rumah kepada warga emas yang tidak dapat hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) atas pelbagai sebab.

“Bagaimanapun, mungkin sudah terlambat untuk ramai yang menggunakan perkhidmatan ini dalam masa yang singkat.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun warga emas tersebut mungkin berada di rumah mereka sendiri atau pusat jagaan, masih ada keperluan bagi membuat pengaturan agar penjaga mereka hadir semasa vaksinasi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kar Chai turut memberi peringatan kepada individu yang masih belum menerima vaksin bahawa ia merupakan satu perjudian terhadap diri mereka.

“Sesetengah mungkin mengalami simptom ringan apabila dijangkiti varian Omicron sementara masih terdapat kemungkinan dijangkiti Covid-19 dengan simptom yang teruk.

“Mereka yang terselamat daripada gejala yang teruk akan memberitahu anda bahawa Covid-19 tidak boleh dipandang ringan. Ramai daripada mereka trauma dengan peristiwa itu,” katanya.

Menurutnya, orang ramai seharusnya mengetahui bahawa walaupun negara sedang beralih kepada fasa endemik, tetapi kemasukan ke hospital dan kematian akibat Covid-19 pada setiap hari masih boleh dilihat.

“Walaupun simptom Covid-19 dengan varian Omicron kebanyakannya ringan, ia tidak selalunya berlaku.

“Jika sistem imun semula jadi seseorang lemah, masih ada kemungkinan simptom yang teruk apabila dijangkiti virus walaupun telah divaksin dan apatah lagi mereka yang belum menerima suntikan utama,” katanya.

Beliau turut menggesa agar orang ramai tidak memperjudikan nyawa mereka dan seharusnya mendapatkan perlindungan maksimum melalui vaksinasi dan suntikan dos penggalak.