10,000 tong sampah percuma diagih kepada penduduk

Azizul Kama (kanan) menyerahkan tong sampah beroda kepada penduduk pada Majlis Pelancaran Serahan Tong Fasa Ketiga Kepada Penduduk Zon Meru di Masjid Al-Muttaqin, Jalan Bukit Meru, Taman Meru, di sini pada Sabtu.
Azizul Kama (kanan) menyerahkan tong sampah beroda kepada penduduk pada Majlis Pelancaran Serahan Tong Fasa Ketiga Kepada Penduduk Zon Meru di Masjid Al-Muttaqin, Jalan Bukit Meru, Taman Meru, di sini pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 10,000 tong sampah disediakan secara percuma kepada penduduk menerusi projek rintis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama Majuperak Utilities Sdn Bhd sebagai usaha meningkatkan tahap kebersihan di kawasan bandar raya berkenaan.

Ahli Majlis MBI, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz berkata, Zon Meru di sini menjadi kawasan yang terlibat bagi projek rintis berkenaan.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 4,890 unit tong sampah telah diagihkan kepada penduduk melibatkan lebih 10 taman perumahan.

"Saya difahamkan jumlah ini akan bertambah dari semasa ke semasa, hampir 10,000 tong sampah beroda akan diagihkan kepada penduduk.

"Dengan adanya tong sampah ini saya yakin tahap kebersihan akan dapat dipertingkatkan dari segi pengurusan cara pembuangan sisa domestik itu sendiri," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Serahan Tong Fasa Ketiga Kepada Penduduk Zon Meru di Masjid Al-Muttaqin, Jalan Bukit Meru, Taman Meru, di sini pada Sabtu.

Azizul Kama berkata, program pengagihan pertama dilaksanakan pada tahun lalu melibatkan 1,609 unit tong sampah di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati, di sini.

Katanya, menerusi pemberian tong sampah berkenaan, setiap rumah mempunyai tanggungjawab memastikan sampah tidak diletakkan di luar yang boleh mengundang kehadiran haiwan liar.

Menurutnya, dengan penyediaan tong sampah baharu itu kutipan sisa domestik lebih bersistematik dan tidak menyebabkan sampah bertaburan.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini kita berpuas hati dengan khidmat kutipan sampah yang dilaksanakan Majuperak Utilities Sdn Bhd kerana mengikut jadual ditetapkan.

"Kita harap prestasi ini terus dikekalkan bagi memastikan bandar raya ini sentiasa bersih dan penduduk boleh tinggal dalam persekitaran yang selesa," katanya.