MOM masih kaji permohonan MSC

Mohamad Norza ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Wisma OCM pada Sabtu. Foto: BERNAMA
Mohamad Norza ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Wisma OCM pada Sabtu. Foto: BERNAMA
A
A
A

PERMOHONAN Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) untuk menjadi ahli gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih dalam peringkat kajian dan penilaian.

Perkara itu ditegaskan Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria ketika diminta mengulas berhubung permohonan daripada entiti baharu sepak takraw negara itu.

“Setakat ini, belum ada sebarang keputusan yang dibuat mengenai permohonan yang dikemukakan MSC. Ia masih lagi dalam peringkat kajian dan penilaian daripada MOM,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Untuk rekod, MSC telah mengemukakan permohonan untuk menjadi ahli gabungan MOM pada 7 Mac selepas mendapat 'restu' Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Namun, Lembaga Eksekutif MOM yang bersidang pada 8 Mac lalu memutuskan untuk terus mengiktiraf PSM yang kini diterajui Datuk Mohd Sumali Reduan sebagai salah sebuah persatuan di bawah naungan mereka.

Dalam pada itu, Mohamad Norza mengingatkan kontinjen Malaysia yang bakal bertanding pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam Mei depan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) gelembung sukan bagi menjamin keselamatan semua pihak.

“Pada mesyuarat tadi, saya ada tekankan mengenai perkara ini (gelembung sukan) yang mana kita sebenarnya perlu memberikan perhatian kepada proses gelembung sukan agar ia dapat membantu membendung penularan Covid-19 dalam kalangan kontinjen negara.

“Kita telah belajar daripada pengalaman sebelum ini yang mana kes-kes Covid-19 masih berleluasa walaupun kita telah mengambil langkah berjaga-jaga.

Artikel Berkaitan:

“Jadi semua pihak perlu memberikan keutamaan kepada soal keselamatan bagi mengelakkan penularannya (Covid-19),” ujarnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM ke-200 di Wisma OCM, Kuala Lumpur pada Sabtu.