Lelaki maut dihempap pokok

Mangsa dihempap pokok ketika melakukan kerja pembersihan di kawasan Bukit Gemok, Tawau.
Mangsa dihempap pokok ketika melakukan kerja pembersihan di kawasan Bukit Gemok, Tawau.
A
A
A

TAWAU - Seorang lelaki maut selepas dihempap pokok kayu ketika sedang melakukan kerja pembersihan di kawasan Bukit Gemok dekat sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa Arpah Irwan, 30, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.02 petang.

Katanya, seramai empat anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 17 kilometer dari BBP Tawau.

"Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama beberapa rakan sedang melakukan kerja pembersihan sebelum dihempap pokok yang ditebangnya.

"Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit. Selepas berjaya dikeluarkan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.14 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi Sinar Harian turut mengesahkan kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

"Polis memang ada terima laporan berhubung kejadian itu dan mangsa merupakan pekerja yang melakukan pembersihan di kawasan berkenaan," katanya.