Siri PRN bukan jaminan BN boleh menang PRU15

Tengku Razaleigh (berdiri) menyampaikan ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Melayu Perak (GMP) ke-9 di Dewan Komuniti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Taman Cempaka, di sini pada Sabtu.
Tengku Razaleigh (berdiri) menyampaikan ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Melayu Perak (GMP) ke-9 di Dewan Komuniti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Taman Cempaka, di sini pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan jaminan untuk parti itu memperoleh majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kemenangan BN pada PRN di Melaka dan Johor dengan memperoleh majoriti dua pertiga masih belum cukup membuktikan bahawa parti itu kembali diterima rakyat memandangkan ramai yang tidak keluar mengundi.

Menurutnya, peratusan undi yang diterima BN ketika PRN tidak mencapai 50 peratus dan menunjukkan bahawa rakyat belum yakin dengan UMNO dan BN.

"Kita menang di Johor sebab ramai tak keluar mengundi. Orang muda pun tak ramai yang keluar mengundi begitu juga yang berada di Singapura tak pulang mengundi.

"Walaupun pemimpin seronok dengan kemenangan besar itu, tapi hakikatnya kita tak dapat sokongan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Melayu Perak (GMP) ke-9 di Dewan Komuniti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Taman Cempaka, di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu Presiden GMP, Norali Nordin.

Sementara itu, Tengku Razaleigh berpandangan BN tidak mampu mengulangi kejayaan memperoleh majoriti dua pertiga pada siri PRN sebelum ini kerana sentimen di peringkat negara tidak sama seperti di negeri.

Katanya, isu-isu komuniti dan bersifat kenegerian banyak mendominasi kempen serta kehendak pengundi pada PRN tetapi sebaliknya jika berlaku PRU15.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, BN mungkin terpaksa menubuhkan kerajaan dengan cara membentuk kerjasama dengan parti lain selepas PRU15 nanti.

Dalam perkembangan lain, Tengku Razaleigh mendedahkan usaha yang sedang dijalankan untuk mengembalikan semula UMNO asal yang ditubuhkan pada tahun 1945.

Katanya, UMNO sedia ada ketika ini merupakan parti baharu yang dibentuk pada tahun 1988 selepas insiden pengharaman UMNO oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Itu usaha saya sedang dilakukan bukan nak tubuh parti baharu, kita nak supaya sejarah perjuangan orang Melayu tidak bermula dari tahun 1988 iaitu tahun pendaftaran UMNO baharu tetapi sejarah perjuangan orang Melayu bermula pada tahun 1946 yang dipimpin oleh Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman dan seterusnya.

"Kita sedang merangka keseluruhan (usaha mengembalikan UMNO lama) kerana keputusan yang dibuat di mahkamah tinggi tempoh hari mengatakan UMNO haram tak betul kerana apa yang diminta supaya adakan pemilihan semula, bukan suruh haramkan UMNO," katanya.