Cadang kerajaan Sabah dikenali GRS-BN

Bung Moktar (dua dari kiri) menyampaikan kurma kepada wakil Bahagian UMNO Sabah di Bangunan UMNO, Kota Kinabalu.
Bung Moktar (dua dari kiri) menyampaikan kurma kepada wakil Bahagian UMNO Sabah di Bangunan UMNO, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] UMNO Sabah mencadangkan kerajaan Sabah dikenali sebagai kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) - Barisan Nasional (BN) kerana parti itu merupakan sebahagian daripada kerajaan yang ditubuhkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pengumuman Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengenai penubuhan GRS daripada empat parti baru-baru ini menunjukkan berlaku struktur perubahan dalam kerajaan.

"Tidak adil bagi BN kalau tidak disebut sebab kita bukan dalam GRS, kita cuma mendukung kepimpinan GRS dalam pentadbiran negeri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kurma kepada UMNO Bahagian di Bangunan UMNO Sabah, di sini, pada Jumaat.

Diminta mengulas kenapa BN tidak berada dalam GRS, Bung Moktar menjelaskan bahawa partinya itu tidak boleh berada di dalam gabungan lebih daripada satu.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menyifatkan suasana politik di Sabah berbeza berikutan kepimpinan di peringkat Pusat yang sudah tidak sehaluan.

"Dalam konteks UMNO Sabah, sudah tentu orang melihat Sabah sebagai negeri yang agak kritikal kerana kita mendukung bersama-sama parti tidak sehaluan dengan UMNO di Pusat iaitu UMNO-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Pusat.

"Sudah tentu tidak dapat bekerjasama dengan apa cara sekali pun dan di Sabah kita ada GRS," katanya.

Bung Moktar turut memaklumkan UMNO Sabah terbuka bekerjasama dengan parti lain tetapi keutamaan tetap diberikan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai rakan dalam pimpinan kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya, tiada yang rasmi tetapi menurut Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, beliau tidak kisah berbincang dengan sesiapa pun. Saya setuju dengan beliau," katanya.

Selain itu Bung Moktar memberitahu, UMNO Sabah kini sedang mempersiapkan jentera parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).