DUN Perak bersidang tiga hari bermula Isnin

Mohammad Zahir memaklumkan persidangan DUN Perak akan berlangsung selama tiga hari.
Mohammad Zahir memaklumkan persidangan DUN Perak akan berlangsung selama tiga hari.
A
A
A

IPOH - Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 akan bersidang selama tiga hari bermula Isnin ini.

Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, perjalanan persidangan masih tertakluk kepada penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah kawalan pencegahan Covid-19.

"Awalnya kita nak buat panjang tetapi disebabkan masih dalam tempoh pandemik serta mendapat nasihat daripada MKN dan KKM kita putuskan untuk buat tiga hari sahaja.

"Walaupun sebenarnya banyak agenda dan undang-undang lain yang hendak dibawa kali ini," katanya kepada dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, tiada usul tergempar dikemukakan setakat ini.

Mohammad Zahir berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke istiadat pembukaan rasmi persidangan itu dan menzahirkan Titah DiRaja tanpa acara perbarisan.

"Sesi soalan lisan akan berlangsung pada hari kedua dan ketiga manakala Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah DiRaja Sultan Perak akan dibawa dan dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pada hari kedua.

"Seramai 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu sembilan daripada kerajaan dan penyokong kerajaan, 10 orang pembangkang serta seorang ADUN bebas diberikan peluang untuk berbahas berkaitan usul tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sesi penggulungan oleh Exco-exco mengikut portfolio masing-masing dijadual berlangsung pada hari terakhir diikuti sesi penggulungan oleh Menteri Besar.