Buka sempadan: Imigresen siap sedia di pintu masuk negara

 Khairul Dzaimee
Khairul Dzaimee
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) telah bersiap sedia dari semua aspek termasuk sumber manusia untuk menghadapi pelaksanaan pembukaan sempadan negara bermula pada 1 April ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya telah bersedia di semua pintu masuk negara terutama di Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Sabah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Selangor.

"Semua pintu masuk negara yang mempunyai sistem pintu automatik atau 'autogate' telah diaktifkan.

"Selain itu, sumber manusia kita (imigresen) juga mencukupi untuk melaksanakan pemeriksaan dokumen," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Justeru, beliau mengingatkan semua pelancong asing dan tempatan untuk patuhi protokol prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan peraturan imigresen.

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati ingkar SOP yang ditetapkan.

Pada Khamis, kerajaan mengumumkan protokol am bagi pengembara umum yang akan memasuki Malaysia pada 1 April melibatkan kategori sebelum berlepas, semasa ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) serta selepas memasuki Malaysia dalam tempoh 24 jam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, antara yang ditetapkan ialah kanak-kanak berumur bawah enam tahun (mengikut tahun kelahiran) tidak perlu menjalani ujian pra pelepasan dan ujian semasa ketibaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau dalam masa yang sama turut memaklumkan pemansuhan prosedur bagi pengembara bermula tempoh tersebut.

Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan supaya sempadan negara dibuka bermula 1 April ini.

Keputusan ini dibuat berdasarkan tiga perkara asas iaitu panduan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.