Protokol untuk pengembara sempena pembukaan sempadan negara

Khairy bersama Ka Siong (kiri) ketika ditemui pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Bernama
Khairy bersama Ka Siong (kiri) ketika ditemui pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Malaysia menyediakan protokol untuk pengembara sempena pembukaan semula sempadan negara pada 1 April bagi menjadikan Malaysia destinasi selamat serta mengelakkan kesesakan di pintu masuk antarabangsa.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, protokol itu antara lain memerlukan pengembara memuat turun aplikasi MySejahtera, memuat naik keputusan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sebelum berlepas dan mengisi borang prapelepasan.

"Banyak syarat prapelepasan yang perlu diselesaikan pengembara.

"Apabila tiba di Malaysia, pengembara perlu membuat ujian pantas antigen (RTK-Ag) profesional dalam masa 24 jam sama ada di dalam lapangan terbang atau di klinik atas kos sendiri," katanya pengembara akan mendapat kad pengembara dalam aplikasi MySejahtera apabila semua syarat itu dilengkapkan untuk dibenar menaiki pesawat.

Khairy berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada Sabtu selepas meninjau kesiapsiagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sempena pembukaan sempadan negara bermula 1 April ini.

Beliau berkata, kaedah ujian Covid-19 melalui pernafasan juga disediakan di KLIA bagi pengembara yang ingin menyelesaikan saringan di dalam lapangan terbang.

"Ujian pernafasan itu telah diluluskan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan selepas diuji mendapati ketepatan dan sensitiviti memuaskan," katanya.

Khairy berkata, protokol itu dapat mengurangkan masa daripada pendaratan hingga keluar dari lapangan terbang kepada antara 35 dan 45 minit seperti dahulu, berbanding sebelum ini yang mengambil masa lebih sejam.

Artikel Berkaitan:

Menurut Khairy, prinsip kerajaan dalam pembukaan sempadan negara adalah selamat dan tiada birokrasi seperti pemakaian pengesan digital.

"Bermula 1 April, Malaysia akan dibuka semula kepada dunia dan ini merancakkan pembangunan dan pemulihan ekonomi negara memandangkan sektor pelancongan menyumbang lebih 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara termasuk pengembara perniagaan," katanya.

Sementara itu, Ka Siong berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan mengarahkan semua syarikat penerbangan yang ingin terbang masuk Malaysia untuk memaklumkan kepada para penumpang tentang prasyarat sebelum menaiki pesawat.

"Ini bagi mengelakkan kesesakan di balai ketibaan," katanya. - Bernama