BNM lancar MYOR-i rangsang inovasi produk kewangan Islam

BNM melancarkan MYOR-i yang akan merangsang pembangunan produk kewangan patuh syariah yang inovatif untuk memperkukuh pasaran kewangan Islam Malaysia.
BNM melancarkan MYOR-i yang akan merangsang pembangunan produk kewangan patuh syariah yang inovatif untuk memperkukuh pasaran kewangan Islam Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) yang akan merangsang pembangunan produk kewangan patuh syariah yang inovatif untuk memperkukuh pasaran kewangan Islam Malaysia.

BNM menerusi satu kenyataannya memberitahu, MYOR-i juga akan mengukuhkan ekosistem patuh syariah yang holistik serta meningkatkan amalan dan piawaian pasaran yang terbaik.

“MYOR-i merupakan kadar penanda aras Islam berasaskan transaksi yang pertama di dunia dan kadar ini dibangunkan menurut Prinsip untuk Penanda Aras Kewangan.

“Majlis Penasihat Syariah (MPS) BNM juga telah mengesahkan status patuh syariah MYOR-i dan akan menggantikan Kadar Rujukan Islam Kuala Lumpur (KLIRR) yang akan ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.

“Dalam usaha membangunkan MYOR-i juga BNM telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) dan Jawatankuasa Teknikal serta Pembangunan Pasaran Islam (IMTDC) Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia-Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (AIBIM-FMAM),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu, dokumen dasar MYOR-i telah diterbitkan melalui laman sesawang BNM dengan ciri utama dan piawaian tadbir urus, antaranya adalah ditadbir dan dikira oleh BNM.

Jelasnya, MYOR-i merupakan kadar pulangan purata berwajaran jumlah bagi urus niaga ringgit semalaman patuh syariah antara bank tanpa cagaran, termasuk operasi monetari semalaman Islam BNM.

“MYOR-i pada masa ini adalah berasaskan instrumen Murabahah Komoditi. Instrumen patuh syariah yang baharu boleh dimasukkan pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

“MYOR-i untuk mana-mana hari bekerja di Kuala Lumpur akan diterbitkan pada jam 12 tengah hari pada hari bekerja berikutnya melalui laman sesawang BNM.

“BNM juga akan melakukan penilaian berkala terhadap MYOR-i bagi memastikan MYOR-i terus mantap dan mewakili keadaan dalam pasaran asas,” ujar kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, penubuhan MYOR-i sebagai kadar penanda aras Islam akan menjadi pemangkin dalam memacu inovasi produk kewangan Islam dan mewujudkan ketelusan bagi peserta pasaran untuk berunding serta menyeragamkan kontrak kewangan mereka, seterusnya mencapai penetapan harga yang cekap merentas semua instrumen kewangan.

Selain itu, hal tersebut akan membantu memperkukuh pasaran kewangan Islam dalam negeri dan meningkatkan peranannya untuk membiayai kegiatan ekonomi benar di Malaysia.

“Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi pasukan Tinjauan Penanda Aras Kewangan BNM melalui fbr@bnm.gov.my,” katanya.