Perak sedia bincang bangunkan AHTV

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berhubung pelaburan bernilai RM32 bilion bagi membangunkan Automotive High-Technology Valley (AHTV) Di Proton City, Tanjung Malim.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perbincangan itu turut membabitkan persediaan kerajaan negeri menerima pelaburan daripada DRB-Hicom itu.

Beliau memberitahu, Perak akan menjadi perhatian selepas pemindahan sepenuhnya kilang Proton di Shah Alam, Selangor ke Tanjung Malim.

"Saya yakin dalam tempoh terdekat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan datang ke Tanjung Malim dan mungkin kita akan dikunjungi MITI untuk berbincang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Peringatan Hari Polis Ke-215 Tahun 2022 Peringkat Negeri di Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta di sini pada Jumaat.

Sabtu lalu, Ismail Sabri mengumumkan pelaburan baharu sebanyak RM32 bilion bagi membangunkan AHTV Di Proton City, Tanjung Malim.

Berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2021) di Ibu Negara, beliau berkata, pelaburan itu bakal mewujudkan 370,000 peluang pekerjaan sepanjang fasa pembangunan serta 161,000 dalam tempoh operasi.

Saarani berkata, pelaburan baharu itu dijangka menjadi pemangkin pembangunan di bahagian selatan Perak.

"Pelaburan sebesar itu akan menggalakkan pembangunan daerah Muallim dan beri impak baik kepada daerah berhampiran antaranya Batang Padang, Bagan Datuk dan Hilir Perak.

Artikel Berkaitan:

"Apabila ramai pekerja berada di Tanjung Malim, sudah tentu akan disokong oleh perniagaan lain seperti kedai makan, pasar raya dan sebagainya," katanya.