Ramli selesai kes bunuh kurang 24 jam

Anuwal (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ramli (dua kanan).
Anuwal (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ramli (dua kanan).
A
A
A

TAMPIN - Berjaya menyelesaikan kes pembunuhan dalam tempoh kurang 24 jam antara kenangan yang tidak dapat dilupakan penerima Sijil Penghargaan Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin.

Berkongsi kisah berkenaan, Sarjan Mejar Ramli Juri, 60, yang bersara wajib tahun ini berkata, pembunuhan itu berlaku pada tahun 2001 ketika beliau bertugas sebagai Ketua Polis Balai Gemencheh.

Menurut Ramli, ketika melakukan rondaan antara jam 2 hingga 3 pagi di belakang Pekan Gemencheh, beliau ternampak seorang lelaki berjalan dalam keadaan mencurigakan.

"Saya terus menghampiri lelaki berkenaan dan menahannya," katanya ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 Peringkat IPD Tampin pada Jumaat.

Sijil disampaikan oleh Ketua Polis daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab.

Ramli memberitahu, apabila diperiksa, mangsa sudah meninggal dunia dan suspek kemudiannya memberitahu memukul mangsa dengan batu selepas berlaku selisih faham.

Dalam pada itu, Ramli mengakui perasaannya bercampur baur apabila tugasnya dalam PDRM bakal berakhir namun akan sentiasa menjadi mata dan telinga barisan hadapan dalam mencegah jenayah.

"Bagi anggota dan pegawai yang masih bertugas, teruskan tanggungjawab, jujur dan amanah dalam setiap tugasan serta berdisiplin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ramli memegang jawatan terakhir sebagai Penolong Pegawai Penyiasat cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Tampin bakal bersara pada 29 Jun ini selepas 40 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, dalam majlis sama seramai 59 individu yang terdiri daripada pegawai, anggota dan pegawai awam PDRM serta Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Polis (PERKEP) menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis daerah Tampin termasuk Ramli.

Seramai 134 individu lagi membabitkan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan wakil jabatan kerajaan turut menerima sijil berkenaan.