X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Flex sedia penuhi pasaran global

Fasiliti Flex di Batu Kawan merangkumi kawasan seluas 350,000 kaki persegi dan mempunyai 3,000 pekerja.
A
A

Syarikat pembuatan teknologi multinasional, Flex Ltd yakin perkembangan ekonomi ketika ini akan merancakkan lagi unjuran pertumbuhan hasil dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Naib Presiden Kanan Asia Global Operations Flex, Lai Teng Yen berkata, perkembangan positif ini bukan sahaja mengukuhkan lagi operasi syarikat yang bertapak negara ini sejak 1988 malah menuntut pelaburan lebih besar dalam memenuhi kehendak pasaran global.

Menurutnya, Flex kini berada di landasan yang betul dengan pengoperasian 11 fasilitinya di Johor, Selangor dan Pulau Pinang serta kekuatan tenaga mahir kira-kira 20,000 orang.

“Dengan kemudahan insfrastruktur serta logistik bertaraf dunia di sini memudahkan lagi operasi kita. Malah lihat sahaja di Batu Kawan ketika ini banyak syarikat terkemuka turut bertapak di sini sekali gus menarik perhatian serta keyakinan pelabur.

“Kami menjangkakan Flex akan terus sibuk di sini dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya ketika sesi taklimat bersama media mengenai operasi Flex di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Naib Presiden Operasi Flex Pulau Pinang, Viswanathan Paramasivam dan Pengurus Besar Flex Penang Batu Kawan, Ruben Nyul.

Mengulas mengenai pembesaran operasi Flex di sini, Teng Yen berkata, terdapat beberapa pendekatan sedang dipertimbangkan seperti meningkatkan kemudahan serta mewujudkan lebih banyak ruang dalam kilang atau menjemput rakan perniagaannya untuk melabur di Malaysia.

LAI TENG YEN
LAI TENG YEN

Selain itu beliau berkata, Flex merancang untuk mengembangkan tenaga kerjanya lebih daripada 10 peratus dengan mencari jurutera reka bentuk, jurutera elektrik dan elektronik, jurutera mekanikal, bakat teknikal dan bidang kemahiran lain.

Jelasnya, sehingga kini Flex telah melabur sebanyak RM4.86 bilion di Malaysia selain menjadi salah satu majikan terbesar di Malaysia dengan mempunyai 20,000 orang pekerja.

“Syarikat ini juga merupakan salah satu daripada majikan terbesar kepada orang kurang upaya (OKU) di negara ini, dengan lebih 180 OKU diambil bekerja di fasilitinya di Johor dan Pulau Pinang.

“Persekitaran kerja yang mesra OKU diwujudkan bagi kakitangan yang hilang upaya pendengaran bagi membolehkan mereka berkomunikasi dengan rakan sekerja lain dengan selesa dan melaksanakan tugas mereka dengan cekap,” katanya.

Tambah beliau, Flex percaya kakitangan OKU boleh mempamerkan prestasi baik dan produktiviti tinggi, setaraf dengan kakitangan normal dan mereka boleh meningkat maju dengan bakat serta kemahiran baharu.

Disebabkab komitmen itu, katanya kerajaan telah mengiktiraf Flex sebagai majikan mesra OKU. Flex merupakan syarikat multinasional yang membangunkan produk-produk menambah baik kehidupan.

Antara produk yang dihasilkan ialah peralatan dan kelengkapan penjagaan kesihatan, sistem bunyi dan audio, pencetak perindustrian dan pembersih vakum robotik.

Flex Penang Batu Kawan turut mempunyai Pusat Kecemerlangan Rekaan dan Pembangunan Audio.
Flex Penang Batu Kawan turut mempunyai Pusat Kecemerlangan Rekaan dan Pembangunan Audio.

Produk yang dihasilkan mendapat permintaan di pasaran global termasuk benua Amerika, Eropah dan rantau lain.

- Flex telah berada di Malaysia sejak 1988 dan kini mempunyai 20,000 pekerja (satu perempat daripada semua pekerja Asia Flex berpangkalan di Malaysia).

- Flex mempunyai 11 fasiliti di Johor, Pulau Pinang dan Selangor, dengan keluasan 4,000,000 kaki persegi (seluas 50 padang bola sepak).

- Antara produk yang dihasilkan di Malaysia ialah sistem pelayan, suis ethernet kompleks, sistem simpanan server canggih, produk audio berkualiti tinggi (soundbar, fon kepala dan kotak bass), peralatan dan peranti perubatan canggih, pencetak berformat besar dan pembersih vakum bermutu tinggi.

- Produk yang dihasilkan dihantar ke pasaran global termasuk benua Amerika, Eropah dan rantau lain di Asia.

- Flex telah melabur sebanyak RM4.86 billion di Malaysia sejak 30 tahun lepas dan merancang untuk menambah pelaburannya di negara ini.

- Flex merancang untuk mengembangkan tenaga kerjanya lebih daripada 10 peratus di Malaysia. Majoriti bakat yang ingin diambil adalah rakyat Malaysia.

- Flex menghargai tempat kerja inklusif di mana tiada seorang pun ketinggalan, termasuk orang kurang upaya (OKU).

- Flex menaja pendidikan tinggi (tertiari) dengan kerjasama universiti-universiti tempatan.

- Lebih 1,000 pekerja di Malaysia telah berjaya memperolehi Ijazah, Diploma dan Pensijilan.

- Flex mempunyai 27 rakan kongsi institusi penggajian tempatan termasuk universiti seperti Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!