ADUN pertahan pendedahan konsultan universiti minta suapan

Dr Salmee
Dr Salmee
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr Salmee Said mempertahankan pendedahan yang dibuat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berhubung konsultan sebuah universiti di negeri ini meminta suapan.

Beliau berkata, pendedahan tersebut yang dibuat secara terbuka bukannya suatu fitnah yang direka-reka kerana pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu.

Menurutnya, tindakan membangkitkan isu berkenaan pada persidangan DUN adalah untuk meminta kerajaan negeri memberi perhatian dan menyiasat dakwaan tersebut.

“Sebaliknya, saya telah dituduh oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor buat fitnah dalam Dewan yang mulia. Saya ingin maklumkan, saya ada saksi dan bukan buat tuduhan atau fitnah,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Dr Salmee berkata, pendedahan itu dibuat selepas menerima aduan daripada seorang kontraktor sebuah syarikat yang telah menyiapkan kertas kerja pembinaan asrama di universiti terbabit.

“Individu terbabit maklumkan, ketika membentangkan cadangan itu kepada pengurusan universiti berkenaan, pihak universiti melalui konsultan mereka meminta syarikat bayar RM4 juta sebelum diberikan kebenaran untuk bina asrama.

“Pihak syarikat tidak setuju dengan cadangan tersebut, difahamkan perkara ini juga berlaku kepada beberapa syarikat lain yang menghantar kertas kerja kepada pengurusan universiti berkenaan,” katanya lagi.

Menurutnya, aduan tersebut disampaikan kepada Muhammad Sanusi untuk meminta penjelasan, selain berharap perkara itu disiasat.

Artikel Berkaitan:

“Kenapa pihak kerajaan negeri tidak memberi penjelasan dan menyiasat aduan tersebut,” katanya.

Dr Salmee yang merupakan bekas Exco Pendidikan negeri berkata, cadangan untuk pembinaan asrama universiti berkenaan sudah dibincangkan sejak tahun 2018.

“Ketika itu, ada dibincangkan namun belum ada apa-apa keputusan dibuat sehinggalah bertukar kerajaan dan timbul pula isu ini,” katanya.

Pada Rabu, Muhammad Sanusi meminta Dr Salmee membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan konsultan sebuah universiti di negeri ini meminta suapan.

Beliau turut meminta agar Dr Salmee mengemukakan bukti berhubung dakwaan berkenaan kerana ia memberi gambaran buruk terhadap universiti terbabit, konsultan dan kerajaan negeri.