Negara mudah terdedah ancaman: Musa Hassan

Musa
Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR – Negara bakal terdedah ancaman keselamatan kerana kegagalan Parlimen meluluskan usul melanjutkan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) berkenaan tahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihak berkuasa (polis) sudah tidak mempunyai kuasa untuk menahan mereka yang disyaki terlibat dalam aktiviti yang boleh mengancam keselamatan negara.

“Ini bermakna Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong tidak lagi dapat dikuatkuasakan. Walaupun dalam kanun keseksaan tetapi pelaksanaan penguatkuasaan masih di bawah Sosma,” ujarnya.

Jelasnya, Sosma bukanlah undang-undang pencegahan detention without trial seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Sosma adalah tahanan di atas perintah mahkamah selama 28 hari untuk siasatan dalam kes yang mengancam keselamatan Negara.

“Pertuduhan di mahkamah boleh dibuat di bawah Sosma sekiranya wujud keterangan, namun selepas ini pesalah hanya boleh ditangkap di bawah kanun prosedur jenayah yang ada,” katanya.

Untuk rekod, kegagalan itu juga mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya blok pembangkang menang dalam penentuan undi belah bahagi.

Dalam hal itu, subseksyen yang membenarkan suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret tidak lagi akan berkuat kuasa selepas ia luput pada 31 Julai 2022.

Artikel Berkaitan:

Musa berkata, sesetengah ahli politik berpendapat undang-undang keselamatan mengongkong mereka melakukan sesuatu tindakan kerana boleh dianggap mengancam ketenteraman awam

“Itu sebab kebanyakan mereka menolak peruntukan berkenaan,” jelasnya.

Tegasnya, rakyat melantik wakil rakyat (ahli Parlimen) untuk mewujudkan peruntukan undang-undang menjaga keselamatan negara, namun di sebaliknya pula yang berlaku.

Muhammad Fathi
Muhammad Fathi

Sementara itu, kegagalan kerajaan mengusulkan lanjutan tempoh Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) di Dewan Rakyat merupakan satu tamparan buat kerajaan untuk merombak semula undang-undang tersebut.

Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, ia satu akta yang bermasalah kerana memberi ruang untuk salah guna kuasa berlaku.

“Tujuannya boleh diterima iaitu untuk mengekang aktiviti yang mengancam keselamatan negara.

“Namun masalah Sosma adalah ruang salah guna kuasa yang terlalu terbuka. Kuasa pihak polis menahan dan melanjutkan penahanan tanpa perlu melalui proses mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Muhammad Fathi berkata, kegagalan kerajaan untuk mendapatkan kelulusan di peringkat Parlimen merupakan satu perkara yang mempunyai kebaikan tertentu.

“Sosma itu sendiri memberi kuasa yang luas kepada pihak polis untuk menahan dan menyambung tahanan.Ia pengajaran kepada pentadbiran keselamatan negara untuk lebih berhati-hati melaksana kuasa dimiliki,” ujarnya.