'Negara jiran Rusia dalam bahaya'

Zelenskyy turut menggesa Eropah mengenakan pakej sekatan mingguan yang lebih ketat terhadap Moscow. - Foto: Agensi
Zelenskyy turut menggesa Eropah mengenakan pakej sekatan mingguan yang lebih ketat terhadap Moscow. - Foto: Agensi
A
A
A

STOCKHOLM - Rusia akan memusnahkan kebebasan di Eropah selain mengancam negara jirannya.

Amaran keras itu diberikan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy kepada Parlimen Sweden menerusi ucapannya pada Khamis.

"Jika Kiev gagal bertahan dan melindungi tanah air ini. Hal ini bermakna kesemua negara jiran Moscow dalam bahaya. Kremlin melancarkan serangan ke atas Ukraine kerana ia mahu memperluaskan kekuasaannya di Eropah," ujarnya ketika berucap melalui pautan video yang turut menerima tepukan gemuruh.

Jelasnya, ia adalah cabaran asas untuk keselamatan dan sistem pertahanan Eropah.

Zelenskyy turut menggesa Eropah mengenakan pakej sekatan mingguan yang lebih ketat terhadap Moscow.

Beliau juga memberi amaran kepada Stockholm tentang Pulau Gotland di Laut Baltik yang mungkin menarik minat Kremlin.

Difahamkan, Sweden membuka semula garison mereka di Gotland pada 2018 yang ditutup sejak 14 tahun lalu setelah Moscow merampas wilayah Crimea pada 2014.

"Hal ini bermakna anda dalam bahaya kerana hanya laut memisahkan anda dengan dasar agresif Kremlin. Propaganda Rusia tentang bagaimana ia akan merampas dan mengawal Gotland sudah mula tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Moscow berpendapat ia adalah keputusan yang tepat untuk menempatkan sistem antipertahanan dan pangkalan tentera di sana bagi menjadi tapak bagi kemaraan ke negara Baltik," katanya lagi.

Zelenskyy turut mengucapkan terima kasih kepada Sweden selepas ia bersetuju untuk menghantar bekalan senjata ke Kiev buat pertama kali sejak 1939 walaupun ia bukan sebahagian daripada negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan tidak bersekutu dengan secara ketenteraan.

Sokongan untuk menganggotai NATO telah meningkat di Stockholm sejak kempen pencerobohan Rusia, namun Perdana Menteri, Magdalena Andersson dikatakan menolak idea tersebut.

Menurutnya, keputusan menyertai perikatan tersebut berisiko menjejaskan kestabilan Eropah Utara. - AFP