MHO cadang tahanan imigresen dibenar sertai Sistem Parol

Musa
Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) mencadangkan kepada kerajaan agar tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang tidak mempunyai kewarganegaraan atau 'stateless' dibenarkan menyertai program Sistem Parol, Pelepasan Banduan Secara Lesen dan Program Reintegrasi Penghuni.

Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan berkata, kerajaan mungkin boleh membenarkan sebilangan kecil daripada tahanan tersebut menyertai program tersebut.

Menurutnya, ia akan mengurangkan pelbagai masalah termasuk kepadatan jumlah tahanan golongan 'stateless' di kem tahanan imigresen serta membuka peluang kepada mereka untuk meningkatkan mutu kehidupan keluarga.

"Pihak kami di MHO berpendapat hukuman alternatif tersebut juga boleh dikenakan kepada pesalah imigresen bagi pesalah-pesalah golongan 'stateless' yang ditahan di kem-kem tahanan imigresen dan mereka juga perlu diberi peluang menyertai program ini.

"MHO mencadangkan bahawa sekiranya sebilangan kecil sekitar 20 peratus daripada golongan 'stateless' dibenarkan menyertai program tersebut, ia dapat mengisi kekosongan tenaga kerja," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Selasa, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan seramai 10,000 banduan dijangka menjalani program Sistem Parol, Pelepasan Banduan Secara Lesen dan Program Reintegrasi Penghuni, dengan 80 peratus dianggar ditempatkan dalam industri, seterusnya mampu mengisi kekosongan tenaga kerja yang menggunakan warga asing.

Mengulas lanjut, beliau yakin golongan 'stateless' di Malaysia juga mampu untuk menggantikan pekerja warga asing untuk bekerja di dalam industri tertentu.

"Ia selari dengan kenyataan Datuk Seri Hamzah yang mana pesalah ini bukan sahaja boleh dipulihkan melalui kerjasama kerajaan dan komuniti, malah mampu untuk meneruskan kehidupan sambil menjalani hukuman dalam komuniti yang akan diselia pegawai jabatan penjara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Musa juga menegaskan MHO berterusan membawa isu berkenaan masyarakat 'stateless' di Malaysia kerana mereka bukanlah dikategorikan sebagai pendatang tanpa izin.

"Banyak faktor individu 'stateless' tersebut antaranya sesetengah masyarakat tidak menitikberatkan untuk mendaftarkan anak mereka selepas dilahirkan.

"Berkemungkinan kerana berada jauh di pedalaman dan juga sebilangan mereka telah hilang dokumen-dokumen penting pengenalan diri.

"Ramai juga antara mereka telah ditahan dan tidak dapat diusir kerana tiada status kenegaraan maka ditempatkan di kem tahanan dan majoritinya adalah yang beragama Islam," katanya.