Teruja saksikan fenomena tanpa bayang di Tanjung Piai

Badrul Amin (kanan) bersama keluarganya tidak melepaskan detik bergambar ketika bayang mereka semakin mengecil ketika fenomena tanpa bayang di Taman Negara Johor Tanjung Piai pada Khamis.
Badrul Amin (kanan) bersama keluarganya tidak melepaskan detik bergambar ketika bayang mereka semakin mengecil ketika fenomena tanpa bayang di Taman Negara Johor Tanjung Piai pada Khamis.
A
A
A

PONTIAN - Rata-rata pengunjung teruja apabila berpeluang menyaksikan sendiri fenomena tanpa bayang atau dikenali sebagai Ekuinoks di Taman Negara Johor Tanjung Piai pada tengah hari Khamis.

Tinjauan yang dilakukan di arca glob di taman negara tersebut mendapati fenomena itu berlaku sekitar jam 1.15 tengah hari yang menyebabkan bayang seseorang seolah-olah 'hilang' kerana ia hanya dapat dilihat di bawah kaki dengan keadaan yang sangat kecil.

Pengunjung ditemui, Badrul Amin Bain, 24, tidak menyangka dapat menyaksikan fenomena hari tanpa bayang di Taman Negara Johor Tanjung Piai.

"Hari ini saya datang bersama keluarga untuk melihat keindahan pokok bakau dan laut di Taman Negar Johor Tanjung Piai. Tidak sangka saya dapat alami fenomena hari tanpa bayang.

"Saya cukup teruja dapat melihat bayang-bayang menjadi kecil. Ini pengalaman yang cukup berharga," katanya yang berasal dari Kota Tinggi.

Bagi guru tadika, Fazila Wahab, 46, pula berkata, dia tidak mengetahui fenomena tanpa bayang sehingga diberitahu oleh pelawat lain di Taman Negara Johor Tanjung Piai.

"Saya datang dari Batu Caves, Selangor untuk bercuti di Johor. Apabila diberitahu fenomena tanpa bayang di Taman Negara Johor Tanjung Piai saya menjadi teruja untuk menyaksikannya sendiri," katanya.

Noraziah Wahab, 62, dari Gelang Patah pula memberitahu pengalaman melihat fenomena tanpa bayang cukup berharga.

Artikel Berkaitan:

"Saya baharu diberitahu tentang fenomena tanpa bayang ketika datang berkunjung ke Taman Negara Johor Tanjung Piai. Seronok kerana dapat melihat sesuatu yang unik," katanya.

Sebelum itu, laman Facebook Falak Online berkongsi tepat pada waktu tengah hari Khamis, matahari akan berada paling tegak di atas kepala, iaitu sekitar 89.9º di atas titik paling selatan benua Asia, yang kebetulan berada di Tanjung Piai, Johor.

Pengunjung Fatin Humairah Mohd Sabri merakam detik gambar bayangnya semakin mengecil ketika fenomena tanpa bayang di Taman Negara Johor Tanjung Piai pada Khamis.
Pengunjung Fatin Humairah Mohd Sabri merakam detik gambar bayangnya semakin mengecil ketika fenomena tanpa bayang di Taman Negara Johor Tanjung Piai pada Khamis.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dalam satu kenyataan pada 19 Mac memaklumkan, peristiwa Ekuinoks diramalkan berlaku mulai 21 Mac ini sehingga 3 April depan di beberapa kawasan seluruh dunia.

Menurut Mosti, pada hari tersebut matahari akan berada betul-betul di atas garisan Khatulistiwa dan ia berlangsung sepanjang hari berkenaan.

Ketika itu, seluruh dunia akan mengalami masa siang dan malam yang sama panjang iaitu, 12 jam siang dan 12 jam malam.

Berdasarkan infografik yang dikongsikan oleh Planeterium Negara, antara kawasan yang betul-betul berada di atas garisan Khatulistiwa adalah Pontianak, Indonesia dan Quito, Ecuador yang akan mengalami fenomena tengah hari tanpa bayang bermula 21 Mac nanti.

Sebagai rekod, Ekuinoks adalah satu keadaan yang memperlihatkan titik subsolar sesebuah planet melintasi garisan Equator atau garisan Khatulistiwa sekali gus menyebabkan bahagian utara serta selatan sesebuah planet melalui tempoh waktu siang dan malam yang sama.