1MDB: Rosmah beli kalung berlian bernilai RM97.2 juta

Pada 2014, Rosmah turut membeli barang kemas tambahan bernilai AS$1.3 juta (RM5.5 juta). - Foto Bernama
Pada 2014, Rosmah turut membeli barang kemas tambahan bernilai AS$1.3 juta (RM5.5 juta). - Foto Bernama
A
A
A

NEW YORK - Juri dalam perbicaraan kes bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs di Malaysia, Roger Ng akhirnya melihat bukti kukuh tentang barang kemas yang dibeli dengan wang dicuri daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia didedahkan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu yang turut mengaitkan penglibatan Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membeli kalung berlian merah jambu bernilai AS$23 juta (RM97.2 juta) dihasilkan Lorraine Schwartz.

Bloomberg melaporkan juri bagaimanapun tidak melihat gambar atau kalung sebenar dan hanya diberikan bukti resit pembelian sebagai bahan bukti.

Schwartz yang sebelum ini pernah mereka barang kemas untuk selebriti seperti Beyonce, Adele dan Blake Lively mungkin menjadi saksi dalam kes tersebut.

Tetapi, dia sebaliknya hanya memberi kenyataan yang telah dimasukkan pendakwa raya sebagai rekod rasmi mahkamah.

Ketika urus niaga itu, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa menghubungi Schwartz pada Jun 2013 dan meminta wanita tersebut mereka kalung berlian merah jambu dengan permata berbentuk hati khas untuk Rosmah.

Menurut Schwartz, Rosmah telah meminta berlian 18 karat, namun dia hanya mempunyai berlian merah jambu 22 karat dan urus niaga akhirnya dicapai untuk pembelian batu permata bersaiz lebih besar.

Rekod menunjukkan, Schwartz kemudiannya menyerahkan sendiri kalung tersebut kepada Rosmah ketika isteri bekas perdana menteri itu bersantai di atas sebuah kapal layar bersama Low di luar pantai Monaco.

Artikel Berkaitan:

Pada 2014, Rosmah turut membeli barang kemas tambahan bernilai AS$1.3 juta (RM5.5 juta).

Ketika pihak pendakwaan menggulung kes tersebut, ia juga mengemukakan kepada para juri bagaimana berbilion dolar dialihkan daripada tiga transaksi bon 1MDB berjumlah AS$6.5 bilion (RM27.5 bilion) oleh Jho Low yang digunakan untuk membeli barangan mewah.

Low turut didakwa mengalihkan dana daripada 1MDB kepada teman rapatnya, Riza Aziz iaitu anak tiri Najib untuk membantunya menerbitkan filem The Wolf of Wall Street yang dibintangi Leonardo DiCaprio.

Para juri ditunjukkan gambar sarung plastik DVD filem tersebut dan tangkapan layar yang memaparkan ucapan terima kasih kepada Low atas 'sokongannya' pada bahagian akhir filem berkenaan.

Pada 2018, syarikat penerbitan, Red Granite milik Riza pernah bersetuju untuk membayar AS$60 juta (RM253 juta) untuk menyelesaikan tuntutan dikemukakan Jabatan Kehakiman AS yang menuduh dia membiayai filem itu dengan wang dicuri daripada 1MDB.

Pendakwa raya mendakwa sebuah entiti yang dikawal Jho Low juga menggunakan dana 1MDB untuk membeli lima karya seni bernilai AS$58.3 juta (RM246.4 juta) daripada rumah lelongan Christie termasuk hasil lukisan Jean-Micel Basquiat digelar 'Dustheads' yang bernilai AS$51.8 juta (RM218.9 juta).

Bukti pembelian ditunjukkan menerusi invois yang dikemukakan kepada juri selain lakaran kecil lukisan 'Dustheads' tersebut.

Difahamkan, Roger Ng menjadi satu-satunya bekas pegawai Goldman yang dibicarakan selepas didakwa bersubahat dengan bekas bosnya, Tim Leissner untuk membantu Jho Low menyeleweng berbilion dolar daripada tiga urus niaga bon yang dilakukan bank tersebut untuk dana kekayaan Malaysia.

Jho Low juga turut didakwa bersama Roger Ng dalam kes penipuan tersebut.

Leissner bagaimanapun mengaku bersalah dan menjadi saksi utama kes berkenaan.

Sehingga kini, AS belum mengemukakan sebarang pendakwaan ke atas Najib atau Rosmah. - Agensi