Tipu 'online': Kerjasama SKMM, BNM percepat tindakan susulan

Mohd Kamarudin
Mohd Kamarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lebih pantas dalam menangani jenayah penipuan dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, gabungkan tiga agensi itu dapat mempercepat tindakan susulan.

"Paling penting adalah kita mahu mengesan 'money trail' kerana proses sindiket itu mengeluarkan duit begitu pantas dari akaun mangsa ke akaun lain," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Mohd Kamarudin berkata, proses kerjasama serta mengeratkan lagi sistem sedia ada itu sedang berlangsung.

"Kita menjangka kedua-dua agensi itu akan bekerjasama sepenuhnya dengan CCID Scam Response Center pada Jun ini," katanya.

Beliau berkata, CCID Scam Response Center merupakan sebuah pusat panggilan yang ditubuhkan dengan matlamat untuk memberi kemudahan kepada masyarakat untuk berkomunikasi secara langsung dengan JSJK.

"Berdasarkan perangkaan yang diperolehi, kes-kes jenayah komersial mencatatkan peningkatan.

"Usaha pencegahan perlu dilaksanakan dengan lebih komprehensif bagi memastikan maklumat berkaitan jenayah komersial dapat disampaikan kepada masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penugasan panggilan CCID Scam Response Center itu telah dimulakan pada 15 Februari tahun lalu serta beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 10 malam.

"Sejak hari pertama beroperasi hingga kini, jumlah panggilan yang diterima adalah sebanyak 2,399," katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,530 panggilan atau 63.4 peratus adalah tentang pertanyaan berkaitan modus operandi jenayah Macau Scam, Love Scam, belian dalam talian, pinjaman tidak wujud, penipuan pelaburan dan ah long.

"Bakinya, sebanyak 869 panggilan adalah berkaitan lain-lain pertanyaan, penyaluran maklumat jenayah dan sebagainya," katanya.

Mohd Kamarudin berkata, kajian juga mendapati sebanyak 1,430 atau 59.6 peratus pemanggil terdiri daripada individu yang menjadi mangsa manakala selebihnya iaitu 969 pemanggil (40.4 peratus) adalah individu yang tidak menjadi mangsa," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan data itu, pihaknya percaya melalui penugasan di CCID Scam Response Center, seramai 969 individu telah berjaya mengelak daripada menjadi mangsa jenayah komersial.

"Tidak mustahil jumlah individu yang mendapat manfaat daripada perkongsian maklumat oleh petugas pusat panggilan ini adalah lebih tinggi," katanya.

Mohd Kamarudin berkata, pihaknya optimis untuk sentiasa meneliti dan menambah baik keberkesanan dan keupayaan pusat panggilan itu.

"Orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

"Sebarang maklumat berkenaan sindiket penipuan boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599," katanya.