Rayu proses sijil kelahiran, kad pengenalan dipercepatkan

Abdool Hamid (tiga dari kanan) bersama keluarga Abdul Sani menunjukkan dokumen milik Allahyarham.
Abdool Hamid (tiga dari kanan) bersama keluarga Abdul Sani menunjukkan dokumen milik Allahyarham.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diharap dapat mempercepatkan proses sijil kelahiran dan kad pengenalan kepada tiga orang anak kepada seorang bekas komando, Abdul Sani Darus yang meninggal dunia pada November lalu.

Abang kandung kepada Allahyarham Abdul Sani, Abdool Hamid Darus, 70, berkata, dia sudah menghantar dokumen lengkap dan pihak JPN memaklumkan tempoh proses selama enam bulan sebelum sijil kelahiran dan kad pengenalan atau MyKad dapat diberikan.

"Saya berbesar hati sekiranya dapat dipermudahkan dan dipercepatkan agar mereka dapat kad pengenalan dan sijil kelahiran. Saya sudah menghantar semua dokumen ke JPN dan pihak mereka memaklumkan proses menunggu sekitar enam bulan.

"Saya rasa enam bulan itu terlalu lama, jadi saya harap proses itu dipercepatkan dengan kerjasama pihak JPN. Sekurang-kurangnya anak-anak ini boleh hidup bebas sebab mereka juga mahu belajar dan bekerja seperti orang lain.

"Sekarang ini mereka hendak belajar atau bekerja tidak boleh kerana ketiadaan kad pengenalan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ketiga-tiga anak Abdul Sani itu ialah ialah Nur Salehah Abdul Sani, 18; Nur Hidayah Abdul Sani, 17, dan Mohd Samsul Bahari Abdul Sani, 13, merupakan hasil perkahwinan Abdul Sani bersama seorang wanita warga Indonesia, Nur Fateha Gimin, 51.

Abdool Hamid berkata, adiknya yang meninggal dunia akibat sakit tua itu tidak pernah menceritakan masalah mengenai keluarga mereka dan dia sendiri tidak tahu mengenai ketiadaan kad pengenalan ketiga-tiga anak ketika Allahyarham masih hidup.

Dia hanya mengetahui perkara tersebut melalui salah seorang anak daripada perkahwinan pertama arwah setelah kematian bapa mereka.

Artikel Berkaitan:

"Saya dapat tahu yang mereka ini tiada kad pengenalan melalui abang iaitu anak perkahwinan pertama kerana nak tolong dapatkan kerja.

"Namun, abang mereka bagitahu mereka tidak pernah bersekolah kerana tiada sijil kelahiran dan kad pengenalan," katanya.