Malaysia Airlines meterai kerjasama dengan FAM

A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines memeterai perjanjian sebagai rakan kongsi bagi tempoh dua tahun dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk saling bekerjasama dalam aktiviti pemasaran dan promosi.

Syarikat penerbangan kebangsaan itu kini adalah rakan kongsi syarikat penerbangan rasmi bagi FAM dan syarikat penerbangan rasmi bagi Pasukan Harimau Malaya dan Harimau Muda.

Memorandum Persefahaman (MoU) itu ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Kapt Izham Ismail dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin di Wisma FAM, Kelana Jaya.

“Perkongsian ini melambangkan sokongan padu kami terhadap pembangunan sukan negara. Sukan dan sokongan kepada Harimau Malaya melangkaui perbezaan bangsa, agama, umur dan budaya.

“Kami menaruh harapan bahawa hubungan bermanfaat ini bukan hanya memperkasakan atlet, pegawai dan penganjur, tetapi juga menunjukkan komitmen kami terhadap pembinaan negara,” kata Izham dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Hamidin berkata FAM berasa bangga dikaitkan dengan Malaysia Airlines.

“Kami berharap untuk menjalin perkongsian jangka panjang yang membawa manfaat kepada kedua-dua pihak. Apabila dua jenama negara berkerjasama, saya percaya tiada hadnya untuk sebarang berkemungkinan.

“Kami amat mengalu-alukan dan mengucapkan selamat kembali ke arena bola sepak kepada Malaysia Airlines, yang merupakan satu daripada penaja FAM di masa lepas,” katanya.

Malaysia Airlines menaja penerbangan bagi Harimau Malaya pada perlawanan akhir Piala AFF Suzuki.

Pada Februari, syarikat penerbangan kebangsaan itu menandatangani MoU dengan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBSM), Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) dan Institut Sukan Negara Malaysia (ISN) untuk menjadi rakan kongsi syarikat penerbangan rasmi bagi Pasukan MAS.

Malaysia Airlines turut memberikan sokongan padu terhadap pelbagai inisiatif berkaitan sukan yang lain di Malaysia termasuk tajaan individu untuk dua penerjun negara Nur Dhabitah Sabri dan pemenang dua pingat Olimpik Pandelela Rinong Anak Pamg, serta atlet luncur udara Nadiah Wafa. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia