JHEAINS, PBT bincang sedia surau di tapak bazar Ramadan

Mohd Arifin (kanan) ketika bertemu dengan Aliakbar (kiri) sebelum sidang DUN bermula.
Mohd Arifin (kanan) ketika bertemu dengan Aliakbar (kiri) sebelum sidang DUN bermula.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi penyediaan surau di tapak bazar Ramadan untuk kemudahan pengunjung dan peniaga Islam di negeri ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, perbincangan dari masa ke masa oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dengan PBT akan dilakukan.

"Perbincangan yang akan diadakan adalah bagi penyediaan surau bersaiz sederhana terutama di tapak bazar Ramadan yang kekal untuk menampung keperluan pengunjung dan peniaga Islam yang menjalankan perniagaan di kawasan tersebut.

"Bagi tapak bazar sementara memadai sekadar musala bergerak dan surau bersifat sementara," katanya dalam ucapan penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas isu penyediaan surau di bazar Ramadan dibangkitkan oleh Dr Aliakbar Gulasan (Dilantik-Pas).

Sementara itu, Mohd Arifin turut memberi penjelasan berhubung cadangan sebuah sekolah agama dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Silam.

"Ketika ini, di kawasan Parlimen ini (Lahad Datu) terdapat sebuah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan empat Sekolah Agama Negeri (SAN).

"Kerajaan sedar akan permintaan masyarakat terhadap pendidikan anak-anak di sekolah agama adalah amat tinggi di kawasan Parlimen ini dan di seluruh negeri.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, kerajaan melalui JHEAINS dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa mengambil berat keperluan mendirikan sekolah agama di seluruh negeri bagi menampung permintaan tersebut," katanya bagi menjawab cadangan Dumi Pg Masdal (Silam-Warisan).

Sehubungan itu, Mohd Arifin berkata, jabatan akan meneliti cadangan pembinaan sekolah agama baharu di kawasan Silam sama ada melalui JHEAINS atau memberikan sokongan kepada SMAN swasta bagi memastikan pendidikan agama dapat diberikan.