Ada campur tangan politik dalam lantikan NC, TNC universiti

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose
Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose
A
A
A

KAJANG - Majlis Profesor Negara (MPN) menerima banyak aduan berhubung campur tangan politik dalam pelantikan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor di universiti awam.

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, walaupun kuasa melantik NC itu di bawah kuasa Menteri Pengajian Tinggi tetapi ia perlu mengikuti prosedur sedia ada.

Tambah beliau, pelantikan tersebut mesti mengikut aturan sekurang-kurangnya bermula dengan mendapatkan ijazah kedoktoran, menjadi Dekan Fakulti, Timbalan Naib Canselor dan Naib Canselor.

“Banyak saya terima aduan seperti ini terutama di IPTA dan antara perkara yang tidak disenangi dan menyuarakan, ada seolah-olah campur tangan politik dalam pelantikan ini.

“Bagi MPN kita terbuka, walau bagaimanapun, kita perlu menentukan bahawa sesiapa sahaja yang dilantik itu perlu memenuhi ciri-ciri kelaziman yang diamalkan selama ini.

“Ini supaya penerimaan warga universiti itu tidak dipertikaikan dan kita juga risau sekiranya tidak mendapatkan penerimaan penuh, kemungkinan perjalanan universiti akan terganggu,” katanya dalam wawancara khas bersama Presiden MPN pada Rabu.

Mengulas lanjut, Raduan berkata, sekiranya terlampau politikkan kepimpinan akademik itu, ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli akademik.

“Sebagai badan yang mewakili akademik, kita sentiasa dihujani oleh aduan seperti itu, dan kita mempunyai tanggungjawab untuk membuat teguran, menyuarakan kepada pihak kerajaan terutama kementerian.

Artikel Berkaitan:

“Ini supaya perkara ini dapat kita elakkan. Aduan itu kita terima, antaranya daripada Persatuan Pegawai Akademik Universiti Awam yang memperlekehkan pelantikan naib-naib canselor. Perkara ini tidak boleh kita diamkan sahaja kerana mungkin mereka ada isu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejak akhir-akhir ini, pelantikan tersebut tidak mengikuti prosedur yang seharusnya bagi calon NC dan TNC yang juga dilihat keluar daripada kelaziman tata cara dan budaya akademik itu sendiri.

“Syarat seseorang itu menjadi NC atau pemimpin akademik, dia mesti mempunyai kecemerlangan akademik dan kemahiran serta kebolehan menguruskan organisasi.

“Ini wajib sebab NC perlu membuat bajet, urus orang dan merupakan pengerusi Senat bagi universiti.

“Ia adalah secara semula jadi, mana-mana bakal NC mesti sekurang-kurangnya ada pengalaman atau kemahiran pengurusan organisasi dan terlibat dalam urusan Senat,” katanya.

Tambah beliau, calon NC itu juga perlu sesuai dengan kedudukannya dan dilantik secara berperingkat supaya komuniti akademik dapat mempercayai kepimpinan bakal calon tersebut.

“Ini baru lahir sudah berlari, mana boleh. Susila akademik itu jangan dicemarkan,” katanya.

Walau bagaimanapun, Raduan berkata, menteri juga diharap menggunakan Jawatankuasa Carian yang dibentuk dalam memilih kepimpinan akademik yang selayaknya.

Ujarnya, jawatankuasa itu perlu mempunyai kewibawaan dan pengalaman serta tanggungjawab untuk memilih calon yang lebih baik.

“Menteri hendaklah dibantu oleh sebuah Jawatankuasa Carian untuk memilih calon yang sesuai yang dikemukakan oleh iklan terbuka atau daripada universiti masing-masing.

“Janggal bila calon yang dilantik itu tidak merupakan mereka yang melalui proses pencarian dan pemilihan daripada jawatankuasa tersebut,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!