Terengganu disaran tubuh Baitul Iman untuk pesalah syariah wanita

Zuraida
Zuraida
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu disaran mewujudkan sebuah pusat pemurnian akidah dan akhlak untuk menempatkan pesalah syariah wanita dengan cadangan nama Baitul Iman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan memandangkan Terengganu belum mempunyai pusat atau rumah untuk menempatkan pesalah berkenaan.

“Merujuk kepada peruntukan Seksyen 97 (2) (b) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Terengganu, mahkamah Syariah boleh memerintahkan pesalah ditahan di rumah kebajikan yang diluluskan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

“Namun, sehingga kini, masih belum ada mana-mana pusat atau rumah yang diluluskan bagi maksud enakmen itu di Terengganu,” katanya ketika membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Rabu.

Menurut Zuraida, wanita yang diputuskan bersalah di Mahkamah Syariah Terengganu kini dihantar ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam manakala pesalah lelaki pula di Baitul Iman, Hulu Yam, Selangor.

Beliau berkata, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersetuju menempatkan pesalah di sana dengan kos yang ditanggung bagi seorang pelatih adalah sebanyak RM7,080 bagi tempoh enam bulan.

Katanya, kebanyakan pesalah dihantar ke sana adalah mereka yang melakukan kesalahan berkhalwat, persediaan persetubuhan di luar nikah, minum minuman memabukkan dan lelaki berlagak perempuan.

“Saya dimaklumkan bahawa kerajaan negeri bercadang membina pusat pemulihan akhlak dan akidah di Marang. Jadi, saya mencadangkan pusat tersebut turut membawa fungsi sebagai pusat Baitul Iman.

Artikel Berkaitan:

“Antara rasional perlunya pusat ini wujud di adalah kerana lokasi di Selangor adalah jauh dan memerlukan masa perjalanan panjang. Selain itu pesalah juga perlu dimasukkan ke lokap sebelum dibawa ke pusat pemulihan,” katanya.