Finas jadi penentu utama selesaikan isu KWSP penggiat seni

Zahidi (tengah) hadir pada Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil sempena Hari Seniman 2022 di Kompleks Studio Merdeka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), pada Selasa. - Foto Bernama
Zahidi (tengah) hadir pada Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil sempena Hari Seniman 2022 di Kompleks Studio Merdeka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan dijadikan sebagai peneraju utama dalam menyelesaikan isu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi golongan artis dan penggiat seni bebas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, Finas telah menyerahkan perancangan Pasukan Petugas Industri Kreatif kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sebelum diteliti untuk penambahbaikan industri itu termasuk melibatkan kebajikan penggiat seni.

"Di samping itu, cara lain kita hendak bincang dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Kewangan (MOF) di mana advertisement (bayaran iklan) dapat kita salurkan kepada Finas supaya pihaknya (Finas) dapat membayar KWSP kepada pelakon yang sudah daftar di bawah mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada penggiat industri daripada pelbagai latar belakang seni sempena sambutan Hari Seniman Negara 2022 di Kompleks Studio Merdeka, dekat sini pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) K-KOMM Mastura Ahmad Mustafa, Pengerusi Finas Zakaria Abdul Hamid, wakil-wakil persatuan seni dan penggiat seni.

Zahidi berkata, Sambutan Hari Seniman Negara 2022 itu disambut bagi memperingati jasa sumbangan seniman dan seniwati yang telah melakarkan sejarahnya yang tersendiri dalam industri seni tanah air.

"Kita berharap bukan sahaja penerbit (dan) pelakon hebat yang dapat dilahirkan tetapi terdapat syarikat filem (hasilkan kualiti) yang bermutu di negara kita," katanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa sebelum ini dilaporkan berkata, Sambutan Hari Seniman Negara akan diadakan pada setiap 22 Mac iaitu bersempena dengan tarikh kelahiran Allahyarham Tan Sri P Ramlee bagi memperingati jasa dan sumbangan seniman agung tanah air itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, perbadanan itu telah mewajibkan semua kru produksi untuk mencarum KWSP bagi artis, pelakon serta pekerja belakang tabir.

"Ini langkah pertama dan masuk dalam perjanjian antara Finas dan penerima dana (kru produksi). Wang berkenaan boleh digunakan di hari tua sekiranya sudah tidak aktif berlakon," katanya.

Md Nasir juga berkata, Finas akan berbincang dengan KSM dan MOF bagi membolehkan penggiat seni, khususnya yang bergerak secara bebas, juga dicarum dalam KWSP oleh majikan mereka. - Bernama