Objek tidak dikenal pasti sebabkan kecederaan Syed Danial: Saksi

Paparan skrin video yang tular di media sosial berhubung kemalangan membabitkan Syed Danial di Lebuhraya Utara Selatan, pada 2019 lalu.
Paparan skrin video yang tular di media sosial berhubung kemalangan membabitkan Syed Danial di Lebuhraya Utara Selatan, pada 2019 lalu.
A
A
A

SHAH ALAM – Pakar Perubatan Forensik, Hospital Serdang, Dr Emizam Mohamadon memberitahu bahawa, beliau tidak dapat menerangkan jenis objek yang menyebabkan kecederaan pada badan Syed Muhammad Danial Syed Syakir.

Pakar Perubatan Forensik, Hospital Serdang, Dr Emizam Mohamadon berkata demikian ketika perbicaraan kes bunuh Syed Muhammad Danial yang dikatakan berlaku di Kilometer 293.6, Lebuh Raya Utara Selatan pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang, 10 Ogos 2019, di hadapan Hakim Julia Ibrahim.

Ketika soal balas, Dr Emizam bersetuju dengan cadangan peguam, Wee Choo Keong, bahawa biarpun beliau pakar dalam bidang perubatan forensik, namun tidak dapat menyatakan dengan tepat objek yang menyebabkan kecederaan terhadap Syed Muhammad Danial.

Choo Keong: Adakah Dr bersetuju dengan cadangan saya, dalam keterangan Dr pada 11 Mac lalu, sebab kematian Syed Muhammad Danial diambil berdasarkan keterangan pihak polis, iaitu kereta Toyota Innova.

Dr Emizam: Tidak, saya tidak pernah cakap Toyota tapi impak daripada kenderaan bermotor.

Choo Keong: Setuju atau tidak, melihat kepada kesan pada badan Syed Muhammad Danial, Dr tidak boleh sahkan ia kesan dari jenis kenderaan apa?

Dr Emizam: Ya setuju.

Choo Keong: Tetapi Dr pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang?

Artikel Berkaitan:

Dr Emizam: Ya.

Choo Keong: Setuju atau tidak, Dr pergi ke sana untuk melihat kerosakan pada Toyota Innova, adalah melangkaui tugas Dr?

Dr Emizam: Ya.

Beliau juga bersetuju bahawa, bagi memperoleh dapatan hasil bedah siasat, beliau mengambil keputusan untuk membuat pemeriksaan pada tayar depan Toyota Innova itu.

Pada prosiding 11 Mac lalu, Dr Emizam memberitahu mahkamah bahawa kecederaan yang dialami Syed Muhammad Danial disebabkan oleh impak objek tumpul.

Ketika menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin, Dr Emizam berkata, hasil bedah siasat mendapat ada kesan pendarahan di kepala, dada dan abdomen si mati.

“Saya dapati ada kecederaan dengan corak hentakan yang sama sehingga menyebabkan tulang rusuk kanan pertama hingga ke-11 patah.

“Hatinya juga pecah hingga menyebabkan darah yang banyak dan jika bergantung kepada hati yang pecah, ia boleh menyebabkan kematian si mati,” katanya.

Pada 22 Ogos 2019, Wei Ling yang bekerja dalam bidang IT, didakwa membunuh Syed Muhammad Danial yang juga pengurus bank, di Lebuhraya Utara Selatan pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang, pada 10 Ogos tahun sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung Rabu.