Projek naik taraf kereta api di Sabah tidak dilaksanakan secara cekap

Projek menaik taraf perkhidmatan kereta api di negeri Sabah tidak dilaksanakan secara cekap dan berkesan secara keseluruhan kerana telah lewat disiapkan, menurut Laporan Ketua Audit Negara.
Projek menaik taraf perkhidmatan kereta api di negeri Sabah tidak dilaksanakan secara cekap dan berkesan secara keseluruhan kerana telah lewat disiapkan, menurut Laporan Ketua Audit Negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Projek menaik taraf perkhidmatan kereta api di negeri Sabah tidak dilaksanakan secara cekap dan berkesan serta lewat disiapkan dari tarikh yang ditetapkan, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020 Siri 1 yang dikeluarkan, pada Selasa.

Laporan itu berkata, prestasi output bagi projek kerja-kerja tambahan menaik taraf di kawasan 'Gorge Line' antara Stesen Halogilat ke Stesen Tenom mendapati setakat September tahun lepas, kemajuan sebenar adalah 99.5 peratus dengan kelewatan sebanyak 192 hari.

"Prestasi output bagi Perolehan ‘To Design, Manufacture, Supply, Delivery, Testing and Commissioning of Three Sets New Diesel Multiple Unit (DMU)’ dan Enam unit ‘New Non-Powered Car (NPC)’ pula setakat November 2021, kemajuan kerja sebenar adalah 92.9 peratus berbanding 93.8 peratus yang sepatutnya seperti dijadualkan.

"Pencapaian keberhasilan masih belum boleh dinilai bagi kedua-dua projek,” menurut laporan itu.

Laporan itu menyatakan terdapat beberapa kelemahan dalam pengurusan projek yang perlu diberikan perhatian meliputi kawasan pembinaan (landasan keretapi Halogilat ke Tenom) yang mempunyai isu topografi serta kejadian tanah runtuh, hakisan tebing sungai dan banjir, tidak diambil kira semasa peruntukan projek diluluskan.

Selain itu, ia turut mendapati tempoh pemberian kelulusan pelanjutan masa (EOT)/lanjut kontrak (LK) dan arahan perubahan kerja (APK)/arahan perubahan (VO) yang mengambil masa panjang selain pemantauan yang kurang berkesan oleh Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS).

Bagi memastikan ia tidak berulang di masa hadapan, laporan berkenaan mengesyorkan supaya isu tanah runtuh dan hakisan tebing sungai ditangani JKNS atau Kerajaan Negeri Sabah dengan menyediakan peruntukan mencukupi.

Turut disyorkan adalah isu berkenaan EOT/LK dan APK/VO diuruskan dengan teratur, cekap dan berkesan agar pemberian kelulusan tidak mengambil tempoh yang panjang selain mewujudkan mekanisme pemantauan yang lebih berkesan dengan mengambil tindakan susulan terhadap isu-isu dibangkitkan untuk diselesaikan dengan segera di setiap peringkat.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sejumlah RM95.49 juta bagi kos kedua-dua projek yang objektif utamanya adalah untuk menyediakan infrastruktur dan liputan perkhidmatan yang cekap, berkualiti dan selamat dengan sasaran memberi kemudahan pengangkutan awam kepada penduduk bandar, pinggir bandar dan luar bandar. - Bernama