Ibu enam anak syukur dapat rumah

Maskeris (dua, kanan), Mohd Zulkifli (tiga, kanan), Zainalinopis (kiri) bergambar bersama Pegawai Tadbir Agama Daerah Hilir Perak, Mustapa Jaafar selepas simbolik serahan kunci rumah yang diterima mereka.
Maskeris (dua, kanan), Mohd Zulkifli (tiga, kanan), Zainalinopis (kiri) bergambar bersama Pegawai Tadbir Agama Daerah Hilir Perak, Mustapa Jaafar selepas simbolik serahan kunci rumah yang diterima mereka.
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang ibu tunggal muda tidak pernah menyangka impiannya mendapatkan sebuah rumah buat enam anaknya hidup dengan selesa akhirnya tercapai.

Maskeris Bah Jibi, 25, berkata, hidupnya berubah selepas kematian suaminya tahun lalu di mana dia mengambil alih semua tugasan membesar anak-anaknya dan tinggal bersama emaknya.

"Saya sering mengimpikan sebuah rumah yang selesa untuk kami sekeluarga tinggal dan tidak sangka ALLAH S.W.T memakbulkan doa saya apabila saya dimaklumkan mendapat bantuan rumah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

"Saya hanya bekerja sebagai pembantu kedai sahaja menyara anak-anak jadi memang tidak mampu menyewa rumah, kerana itu duduk menumpang dengan emak tetapi sekarang tidak lagi sudah ada rumah," katanya kepada Sinar Harian selepas ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Bina Rumah Asnaf dan Fakir Miskin, di Kampung Orang Asli Pelawan, Langkap, di sini, hari ini.

Menurut Maskeris ketika dimaklumkan pihak MAIPk dia bakal menerima rumah sendiri sumbangan daripada mereka, dia berasa terharu kerana ada pihak prihatin melihat kesusahan yang dilaluinya.

"Terima kasih kepada Baitulmal dan MAIPk kerana sudi membantu saya mendapatkan rumah yang selesa untuk saya besarkan anak-anak," katanya.

Seorang lagi penerima, Zainalinopis Mohamad, 28, berkata bantuan rumah yang diterimanya itu membantu mengurangkan beban yang ditanggungnya kerana dia bekerja sendiri menyara isteri serta seorang anaknya.

"Sebelum ini saya tinggal bersama keluarga saya, selepas kahwin pernah cuba mencari rumah sewa tetapi mahal, jadi bila saya menerima bantuan rumah ia sangat membantu kami sekeluarga.

Artikel Berkaitan:

"Sampai bila saya mahu menumpang rumah keluarga, jadi bila dapat bantuan rumah ini saya bersyukur kepada ALLAH S.W.T dan berterima kasih kepada pihak Baitulmal dan MAIPk kerana membantu kami," katanya.

Zainalnopis memeluk Islam sejak dua tahun lalu selepas berkahwin dan dikurniakan seorang cahaya mata dan dia memaklumkan mempunyai kediaman sendiri di usia muda memudahkannya menguruskan keluarganya.

"Saya juga merupakan penerima pertama rumah bantuan daripada MAIPk untuk Kampung Orang Asli Pelawan bagi tahun lepas dan mula mendiami awal tahun lalu sebulan selepas ia siap dibina.

"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu kami lebih-lebih lagi MAIPk dan Baitulmal yang prihatin dengan kesusahan kami," katanya.

Sementara itu, wakil Pegawai Baitulmal Daerah Hilir Perak, Mohd Zulkifli Ismail berkata, seramai empat penerima beragama Islam daripada Kampung Orang Asli Pelawan menerima bantuan bina rumah asnaf dan fakir miskin bagi tahun 2018 bernilai RM178,000.

"Terdapat dua jenis rumah dibina buat penerima di mana ia berbeza dari segi jumlah bilik kerana mengikut jumlah isi rumah tersebut iaitu dua buah jenis Kelas A mempunyai tiga bilik dengan nilai RM48,000 setiap sebuah dan dua buah lagi jenis Kelas B mempunyai dua bilik dengan harga RM42,000 setiap sebuah.

"Bantuan bina rumah asnaf dan fakir miskin ini diberi khusus kepada masyarakat orang asli yang beragama Islam di daerah ini dan ia dilengkapi dengan kemasukan api serta air untuk memudahkan mereka," katanya.