Pemandu SUV langgar kenderaan, pelanggan kedai direman

Keadaan di lokasi kemalangan sebuah SUV langgar kenderaan dan pelanggan kedai makan di Jalan Klang Lama malam Ahad lalu.
Keadaan di lokasi kemalangan sebuah SUV langgar kenderaan dan pelanggan kedai makan di Jalan Klang Lama malam Ahad lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbabas dan mengakibatkan kerosakan sebuah kedai makan dan kecederaan pelanggan serta pejalan kaki di Jalan Klang Lama di sini, direman tiga hari bermula Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh melalui kenyataan pada Isnin memberitahu, lelaki berusia 57 tahun itu dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

Beliau berkata, saringan kandungan alkohol mendapati melebihi had ditetapkan dan lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Kemalangan pada jam 8.30 malam Ahad itu membabitkan tiga kenderaan, dua pejalan kaki dan lapan pelanggan restoran yang sedang makan," katanya.

Tambah beliau, Honda HRV yang dipandu lelaki itu dari arah Petaling Jaya menghala ke pusat bandar itu hilang kawalan lalu melanggar kereta Lexus 2.5 yang diparkir di bahu kiri jalan.

"Kemalangan itu menyebabkan kereta berkenaan bergerak dan melanggar Perodua Axia yang kemudian merempuh lapan pelanggan yang sedang makan serta dua pejalan kaki.

"Dua daripada 10 individu itu patah anggota badan dan semua yang tercedera dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya.

Sarifudin memaklumkan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan: