'Rakyat tak ‘happy’ tak apa, asalkan...'

Paparan skrin kenyataan Najib di laman sosial Facebook miliknya.
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa punca kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebahagiaan Dunia 2019 jauh merosot disebabkan rakyat ditipu oleh kerajaan PH.

Dakwa Ahli Parlimen Pekan itu, ia terbukti apabila Malaysia jatuh 45 tangga serta menjadi antara empat negara yang mengalami kejatuhan paling teruk bersama Venezuela, Ukraine dan India.

“Kedudukan negara kita sekarang adalah pada tahap paling rendah sejak laporan ini (Indeks Kebahagiaan Dunia) mula dikeluarkan oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Menteri PH sedar bahawa rakyat yang bergilir-gilir ditipu oleh kerajaan semasa ekonomi Malaysia semakin menurun di bawah mereka tidak akan happy (gembira).

“Rakyat tak happy (gembira) tak apa, asalkan pemimpin PH bahagia selepas dapat jawatan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Menerusi hantaran sama, Najib secara sinis turut menyatakan, semalam merupakan hari yang malang buat Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.

“Dengan bangganya, Menteri umumkan Malaysia terletak di tempat 35 antara 158 negara di dunia mengikut Indeks Kebahagiaan Dunia 2018 dari PBB ketika berucap dalam acara sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia 2019.

“Pagi dia puji Malaysia naik ke tempat 35, petang pula laporan terbaharu untuk tahun 2019 diterbitkan. Kedudukan Malaysia telah jatuh 45 tempat kepada tempat 80,” tulis Najib lagi.

Terdahulu, media melaporkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebahagiaan Dunia menjunam 45 anak tangga kepada kedudukan ke-80 yang jauh ketinggalan di belakang negara seperti Tenggara Singapura dan Thailand.

Tinjauan tiga tahun dari 2016 hingga 2018, dinilai berdasarkan aspek Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, kesejahteraan, pendapatan, kebebasan, kepercayaan, kesihatan, sokongan sosial, tahap rasuah dan kemurahan hati.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia