LKTN sasar nilai jualan kenaf RM10 juta tahun ini

Zuraida (kiri) beramah mesra dengan pemenang pada majlis Anugerah Penanam Kenaf Jaya Kebangsaan bagi tahun 2020 pada Isnin. - Foto Bernama
Zuraida (kiri) beramah mesra dengan pemenang pada majlis Anugerah Penanam Kenaf Jaya Kebangsaan bagi tahun 2020 pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

ROMPIN - Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) menyasarkan nilai jualan tanaman kenaf melibatkan pekebun kecil sebanyak RM10 juta tahun ini, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Menurutnya, nilai jualan kenaf pada tahun lalu hanya merekodkan RM4.2 juta berikutan industri tanaman itu turut terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Kita berharap lebih ramai terlibat dengan tanaman kenaf ini kerana ia mempunyai pasaran luas dan permintaan tinggi namun pengeluaran bahan mentah masih rendah.

"Negara mengeluarkan kenaf berkualiti tinggi yang dilihat mampu menghasilkan produk terbaik untuk dipasarkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Penanam Kenaf Jaya Kebangsaan 2020 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah pada Isnin.

Pada majlis itu, Zuraida menyampaikan penghargaan kepada sembilan penerima bagi kategori Penanam Kenaf Jaya Bagi Pengeluaran Batang Kenaf, Pengeluaran Fiber Premium dan Pengeluaran Biji Benih.

Katanya, setakat ini negara mempunyai kira-kira 1,000 penanam kenaf dengan keluasan tanaman pekebun kecil dianggarkan seluas 1,500 hingga 2,000 hektar setahun.

Zuraida berkata, pihaknya juga menggalakkan pesawah melaksanakan sistem penggiliran tanaman antara padi dan kenaf yang dilihat mampu menambah pendapatan mereka.

Tambah beliau, kementerian menerusi LKTN akan terus melaksanakan langkah yang perlu bagi membangunkan industri kenaf agar terus dapat menyumbang dalam membangunkan industri komoditi negara.- Bernama

Artikel Berkaitan: