81.9 peratus individu dewasa di Selangor terima dos penggalak

Siti Mariah ketika menjawab soalan berkaitan peningkatan kes Covid-19 di Selangor pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN Selangor Yang Ke-14 T di Bangunan Dewan Negeri Selangor pada Isnin. - Foto Bernama
Siti Mariah ketika menjawab soalan berkaitan peningkatan kes Covid-19 di Selangor pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN Selangor Yang Ke-14 T di Bangunan Dewan Negeri Selangor pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 81.9 peratus atau 3,728,125 individu dewasa di Selangor direkodkan menerima dos penggalak sehingga 1 Mac lalu menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, untuk tempoh yang sama sejumlah 4,334,507 individu dewasa (95.2 peratus) telah menerima dos pertama dan 4,315,186 individu (94.8 peratus) sudah menerima dos kedua.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin bagi menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hair (Pas-Sijangkang) berkenaan statistik imunisasi Covid-19 di Selangor.

Selain itu menurutnya, bagi golongan remaja pula sejumlah 531,193 individu (93.3 peratus) daripada populasi remaja di Selangor menerima dos pertama dan 482,503 (84.8 peratus) telah menerima dos kedua.

"Sementara itu, sejumlah 167,388 (22.9 peratus) daripada populasi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Selangor sudah menerima dos pertama," katanya.

Mengenai tindakan terkini yang diambil bagi membendung peningkatan semula kes Covid-19 di Selangor, Dr Siti Mariah berkata, usaha yang dilakukan pihaknya adalah selari dengan garis panduan dan strategi yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM). - Bernama

Artikel Berkaitan: