ZPEU bantu asnaf di Kedah jana pendapatan

Najmi
Najmi
A
A
A

ALOR SETAR - Projek Estet Padi Zon Pembangunan Ekonomi Ummah (ZPEU) oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) diyakini mampu membantu golongan asnaf meningkatkan pendapatan pada masa hadapan.

Exco Pendidikan, Agama dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata, ZPEU LZNK merupakan projek rintis dari asnaf untuk asnaf merangkumi tiga daerah di Kedah iaitu kawasan Alor Setar, Yan dan Kubang Pasu.

Menurutnya, untuk fasa pertama, seramai 10 peserta terdiri daripasa asnaf, fakir dan miskin dipilih menyertai ZPEU untuk mengusahakan sawah padi keluasan 28 hektar di Batu 16, Padang Lumat, Yan, Kedah.

"Hasil pengeluaran padi yang diperoleh peserta bagi fasa pertama adalah amat memuaskan iaitu dengan purata antara lima hingga tujuh tan per hektar.

"Jadi, LZNK mensasarkan mengembangkan projek ZPEU untuk membangunkan 89.6 hektar tanah di Yan yang akan memberikan peluang pekerjaan baharu kepada 30 hingga 40 asnaf," katanya ketika menjawab soalan lisan Hanif Ghazali (Pas-Tanjung Dawai) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Najmi menerangkan bahawa peserta akan dipilih dari golongan asnaf, fakir dan miskin atau golongan berpendapatan rendah (B40) yang boleh mengusahakan dan berpengalaman dalam pertanian sawah padi.

"Semua kos dan modal awal seperti penyediaan benih padi, baja, racun, peralatan penanaman jentera pembaja, jentera menuai dan sebagainya akan ditanggung oleh LZNK.

"Padi yang dituai kemudian akan diproses menjadi beras seterusnya diagih semula kepada golongan asnaf di Kedah.Itu yang dikatakan daripada asnaf kepada asnaf," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, ZPEU LZNK diusahakan menggunakan teknologi moden dan berskala besar dengan memperkenalkan sistem pertanian secara campuran.

"Jadi, peserta memperoleh hasil sampingan melalui aktiviti tambahan seperti penternakan ikan puyu,itik dan penanaman sayuran di tapak projek sama," katanya.

Menurut beliau, dalam perkembangan sama, LZNK dilantik sebagai salah sebuah agensi peneraju skim SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dan diberi lesen runcit dan borong beras serta lesen runcit benih padi melalui surat kebenaran daripada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Najmi memaklumkan, disebabkan itu, projek tersebut dilihat bukan sahaja mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada asnaf, malah mampu meningkatkan purata hasil pengeluaran padi di Kedah.

Tambah beliau, LZNK akan memperkasakan usaha-usaha hingga membolehkan hasil pengeluaran padi mencapai sasaran dari 10 sehingga 14 tan per hektar.