Sukan Sea: PMM mahu hadiah emas untuk negara

Shahnaz (tiga dari kanan) di Kejohanan Muaythai Elit Kebangsaan 2022 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa, pada Isnin.
Shahnaz (tiga dari kanan) di Kejohanan Muaythai Elit Kebangsaan 2022 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa, pada Isnin.
A
A
A

PERSATUAN Muaythai Malaysia (PMM) optimis mampu menyumbang pungutan pingat emas untuk kontijen negara di Sukan Sea yang akan berlangsung di Vietnam pada 17 Mei ini.

Presiden PMM, Datuk Shahnaz Azmi berkata, pungutan emas itu disandarkan kepada atlet kelahiran Kelantan, Nor Iman Alif Rakib yang akan beraksi untuk kategori 54 kilogram (kg).

"Tuan rumah (Vietnam) telah membuang beberapa kategori yang sebelum ini menjadi 'lubuk' emas buat kontijen negara seperti kategori 45 kg; 48 kg dan 51 kg," katanya kepada pemberita sempena Kejohanan Muaythai Elit Kebangsaan 2022 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa pada Isnin.

Menurutnya, pada aksi Sukan Sea itu nanti hanya kategori 54 kg; 57 kg dan 60 kg dipertandingkan oleh pihak tuan rumah.

Beliau berkata, bagaimanapun PMM telah merangka strategi untuk memastikan sukan berkenaan mampu menyumbang pingat emas untuk kontijen negara.

Shahnaz berkata, Nor Alif yang merupakan juara remaja dunia kini berada di Thailand untuk menyertai kejohanan di negara berkenaan.

"Alhamdulillah setakat ini PMM tidak pernah gagal dalam sasaran pungutan pingat.

"Cuma tahun ini saya tidak berani letak jumlah sasaran sebab banyak perancangan tergendala akibat pandemik Covid-19 selama dua tahun," katanya.

Artikel Berkaitan: