Sukan SEA: Silat hadiah emas kelima

Pasangan kembar, Azray dan Azroy menghadiahkan emas kelima buat Malaysia. - Foto Facebook Majlis Sukan Negara
Pasangan kembar, Azray dan Azroy menghadiahkan emas kelima buat Malaysia. - Foto Facebook Majlis Sukan Negara
A
A
A

KEM silat menceriakan kontinjen negara apabila menyumbang emas kelima dalam Sukan SEA Kemboja 2023 pada Ahad.

Pasangan kembar, Muhammmad Danial Azray dan Muhammmad Danial Azroy Noorazizan meraih pingat emas dalam acara silat seni ganda lelaki di Phnom Penh.

Gandingan negara itu mengumpul 9.945 mata untuk mengenepikan pasangan adik beradik dari Filipina, Al Faujan dan Al Mohaidib yang memperoleh 9.885 di Dewan Pusat Konvensyen Chroy Changvar E.

Malaysia meraih pingat emas silat seni ganda lelaki menerusi Mohd Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga pada Sukan Sea Vietnam 2021, tahun lalu.

Kem karate turut cemerlang pada Ahad apabila menambah dua lagi emas menerusi pembawa Jalur Gemilang, R Sharmendran dan H Sureeya Sankar dalam acara kumite bawah 75 kilogram (kg) serta 60kg..

Skuad karate pada Sabtu menyumbang dua emas menerusi C Shamalarani yang menewaskan wakil Filipina, Junna Tsukii dalam acara kumite wanita bawah 50kg.

S Prem Kumar turut mencatat nama selaku penyumbang emas selepas mengatasi atlet Thailand, Chanpet Setthapong dalam acara kumite lelaki bawah 55kg.